Berita Utama

PAS masih harapkan MN walaupun UMNO sudah tidak mahu

UMNO ‘Putrajaya’ lebih mahukan MN dipertahan, UMNO ‘PWTC’ mahu bergerak solo

BANGI, 19 Zulkaedah 1443H, Ahad – PAS Perlis melihat terdapat dua kelompok UMNO dalam isu perjuangan Muafakat Nasional (MN) – yang sehingga kini masih tergantung.

Pesuruhjayanya, Mohd Shukri Ramli berkata, dalam hubungan PAS dan UMNO ada dua kelompok iaitu UMNO’ Putrajaya’ dan UMNO ‘PWTC’.

“UMNO ‘Putrajaya’ yang lebih mahukan MN dipertahankan manakala kelompok kedua pula adalah UMNO ‘PWTC’ yang mahu bergerak solo.

“Biarpun begitu PAS kekal berharap hubungan MN ini diteruskan walaupun ada dalam kalangan UMNO melihat tidak perlu MN lagi,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Shukri berkata, biarpun UMNO secara tegas mahu bergerak solo pada pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun PAS tidak akan putus asa dalam mempertahankan MN yang diyakini memberi manfaat besar dalam penyatuan Ummah.

Katanya, PAS tetap mengharapkan kerjasama murni berkenaan dapat diteruskan menjelang PRU 15.

Pada masa sama, Mohd Shukri berkata, PAS negeri sedia menjadi orang tengah dalam perundingan antara UMNO dan BERSATU demi penyatuan ummah.

Sekiranya menjelang penamaan calon PRU15, UMNO masih keras menolak kerjasama MN, PAS terpaksa bertembung dengan parti itu.

“Kita sedih jika penyatuan ummah ini tidak dapat diselamatkan, terpaksalah kita lawan (UMNO) namun pimpinan akan terus berusaha bagi memastikan penyatuan tersebut dapat diselamatkan,” katanya.

Muafakat Nasional ditubuhkan pada 14 September 2019 oleh UMNO dan PAS atas alasan mahu mengukuhkan semula kesatuan politik bangsa Melayu dan ummah.

Namun peranan dan fungsi MN kini terus menjadi persoalan dan seolah-olah dilihat seperti hilang punca.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button