Berita Utama

PAS takkan henti gesa parti Melayu bersama bina semula negara

Tolak idea 'khemah besar', fokus penyatuan ummah

BANGI, 19 Zulkaedah 1443H, Ahad – PAS menolak idea ‘khemah besar’ sebaliknya memfokuskan agenda Penyatuan Ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, PAS berdiri teguh dengan prinsip kerjasama politik yang menguatkan umat Islam, selain berdiri dalam satu perikatan dengan parti bukan Islam yang tidak ekstrem dan menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan.

“PAS tidak akan berhenti menyeru seluruh parti Melayu Islam baik UMNO dan Bersatu untuk bersama-sama dalam membina semula negara dan memperkukuhkan umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, PAS menyedari situasi semasa umat Islam yang semakin dihimpit dengan pelbagai cabaran dari segenap aspek sejak kebelakangan ini.

Justeru, katanya, PAS dengan segenap kemampuan yang ada menggerakkan usaha memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) sebagai salah satu usaha menterjemahkan solusi politik Islam dalam mendepani cabaran ini.

“Terkini, PAS akan meneruskan agenda ini menerusi seruan penyatuan ummah rentas ideologi dan parti politik.

“Rakyat negara ini pasti tidak lupa dengan sejarah hitam 22 bulan negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang menzahirkan realiti golongan yang cuba menggugat status quo negara serta prinsip asas tunjang negara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa prinsip PAS sebagaimana termaktub dalam Perlembagaannya juga jelas bahawa Islam yang paling utama.

Oleh itu, beliau berkata, bagi menghadapi PH ketika 2018 hingga 2019 lalu, PAS menggerakkan usaha muafakat ummah dengan parti Melayu seperti UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai ikhtiar menguatkan akar politik Melayu Islam yang semakin goyah.

“Namun, pada masa sama PAS menggerakkan usaha undi percaya kepada Perdana Menteri ketujuh di saat kedudukan beliau diganggu gugat.

“Semua ini tidak lain dan tidak bukan demi Islam dan prinsip kestabilan kerajaan yang dipegang PAS,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button