Berita Utama

Kembalikan UPSR, patut ikut pelan pendidikan 2013-2025, bukan ubah sesuka hati

PBD tak sesuai dibuat dengan kuasa guru, tidak berdasarkan soalan Majlis Guru Besar

BANGI, 20 Zulkaedah 1443H, Isnin – Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) wajar dikembalikan dalam usaha melahirkan generasi pelajar yang berilmu bersesuaian pendidikan semasa dan perkembangan teknologi terkini.

Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raouf Husin berkata, peperiksaan UPSR penting bukan kerana sekadar dijadikan kayu pengukur tahap pencapaian seseorang pelajar, tetapi sebagai meningkatkan standard pendidikan di negara kita.

“Kita tidak melihat pemansuhan peperiksaan awam sebagai langkah yang proaktif tetapi sesuatu yang merugikan masa depan pelajar.

“Dengan adanya UPSR, pelajar akan lebih fokus selain meletakkan sasaran mereka untuk lulus dengan cemerlang sekali gus membuktikan kematangan diri pelajar berkenaan.

“Namun apabila mansuh, ia bukan sahaja merugikan masa pelajar tetapi juga tidak dapat meletakkan kedudukan pelajar berkenaan di tahap yang bersesuaian kerana hanya dipantau melalui pentaksiran Bilik Darjah (PBD),” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, PPPPPM telah menghantar memorandum dan rayuan kepada Menteri Kanan pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin supaya mengembalikan UPSR yang telah dimansuhkan.

Mengulas lanjut Abdul Raouf menjelaskan, kerajaan sepatutnya berbincang lebih teliti sebelum terburu-buru membuat keputusan sehingga menjejaskan masa depan pelajar.

“KPM seharusnya perlu mengekalkan apa yang digariskan dan dibincangkan dalam pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013- 2025 dan bukannya sesuka hati mengubah tanpa perbincangan lanjut dan teliti,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, UPSR tidak sepatutnya dimansuhkan sebaliknya dirombak dengan menambah baik mengikut penilaian bersesuaian zaman hari ini.

Selain itu, beliau melihat Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai kaedah yang tidak bersesuaian dalam menentukan tahap pencapaian pelajar berikutan bilangan pelajar di dalam kelas terlalu ramai.

Malah, penilaian berkenaan dibuat dengan kuasa guru sendiri dan bukannya berdasarkan soalan Majlis Guru besar yang ditetapkan.

Keadaan tersebut katanya, diyakini menimbulkan ketidakselarasan di semua pihak sekali gus meningkatkan jurang antara pelajar bandar dan luar bandar.

UPSR diperkenalkan pada 1988 bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima dan dikendalikan secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), dan KPM.

Namun 27 April 2021, kerajaan memutuskan untuk memansuhkan sepenuhnya UPSR bermula 2021 keputusan besar h mengambil kira pandangan banyak pihak termasuk 1,700 peserta sesi libat urus dengan KPM.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button