Pendapat

Antara Fetih 1453 (2012) dan Mat Kilau (2022)

Umat mesti bersatu membiayai filem sejarah bangsa

FILEM Mat Kilau bakal ditayang 3 hari lagi di panggung terpilih seluruh Malaysia. Selepas tayangan perdananya pada 16 Jun lepas, agaknya apa komen penonton awal? Best ke tak best? Berapa bintang nak bagi?

Saya penggemar filem sejarah Turki, kerana ia juga sejarah umat saya. Saya rasa filem Turki adalah ‘bahan pembanding’ terbaik dalam mengulas filem Mat Kilau, kerana terdapat persamaaan genre dan tema.

Secara ringkasnya, videography Mat Kilau dan Fetih 1453 adalah setanding. Props Fetih 1453 lebih mantap, sebab ada meriam Dardanelles, tapi CGI shot yang semacam kartun (tak real) mengurangkan kualiti video. Mat Kilau memaparkan visual sebenar tanpa CGI, cuma tiada props super macam Dardanelles.

Saya berani kata, kemampuan filem menaikkan rasa cinta kepada agama dan bangsa juga setanding. Jika rakyat Turki berasa ‘energised’ dengan Fetih 1453, Mat Kilau akan meniup rasa bangga dan patriotisme dalam diri penonton Malaysia. Banyak mutiara kata dalam skrip dialog Mat Kilau yang boleh ditulis kembali dengan tinta emas dan diabadikan di dinding rumah.

Dari sudut jalan cerita, kedua filem ini ada kelainan tersendiri. Fetih 1453 memaparkan kisah lengkap bagaimana Turki menakluk Constantinople, termasuklah pembikinan meriam, kapal perang menyeberang darat dan Mehmed naik tahta. Manakala Mat Kilau mengisahkan perjuangan Mat Kilau menggerakkan penentangan terhadap British dari skala kecil hingga berjaya memobilisasi penduduk kampung, sampai British pun “goyang”.

Keseluruhan, saya katakan Mat Kilau dan Fetih 1453 adalah dua filem yang berdiri sama tinggi. Mat Kilau adalah filem yang dibanggakan, dan boleh dieksport ke negara-negara serantau.

Tinggal lagi, jika Fetih 1453 mampu melahirkan siri drama sejarah yang berjaya, seperti Payitaht Abdul Hamid, Dirilis Ertugrul dan Kurulus Osman.

Mampukah Mat Kilau melahirkan siri drama sejarah bangsa yang ditonton setiap minggu oleh masyarakat kita, hingga hidup kembali jatidiri dan cinta dalam sanubari setiap rakyat? Sejauh mana penerimaannya selepas 23 Jun nanti?

Tak dapat tidak, filem Mat Kilau ini mesti berjaya, dan mesti diteruskan. Umat mesti bersatu membiayai filem sejarah bangsa seperti ini, bahkan jika perlu menggunakan dana Zakat dan Baitulmal, ia perlu dipertimbangkan.

Jika filem Mat Kilau gagal, sikap skeptikal terhadap filem sejarah bangsa akan semakin menebal, dan penerbit semakin tidak berani melahirkan filem sebegini lagi.

Ayuh jayakan filem ini. Turunlah memberi sokongan kepada filem Mat Kilau sebagaimana Ultras Malaya turun stadium menyokong Harimau Malaya. Jika bukan sekarang, bila lagi? Jika bukan anda, siapa lagi?

BILAL JAILANI
Penonton awal Filem Mat Kilau

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button