Berita UtamaIstimewa

PAS perlu kuatkan Perikatan Nasional mulai sekarang: Penganalisis

Kerjasama dengan parti Melayu perlu diperkukuhkan, PN ada potensi besar

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 20 Zulkaedah 1443H, Isnin – Inisiatif PAS untuk tetap meneruskan dan mengharapkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) serta parti Melayu Islam yang lain sebagai satu pakatan adalah usaha yang penting.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, PAS melihat Muafakat Nasional (MN) dalam konteks lebih luas, bukan kerjasama dengan UMNO semata-mata, tetapi juga melibatkan parti Melayu lain yang bersedia berpegang kepada ummah. 

“Jadi mungkin PAS melihat UMNO telah menyempitkan konsep MN itu kepada hanya antara PAS dengan UMNO sahaja. Ini mungkin dilihat sebagai bersifat kepentingan kepartian semata-mata, bukan kerana ummah. 

“Maka PAS mahu melihat konsep lebih luas, maksudnya ummah yang dilaungkan PAS dan UMNO itu bersifat menyeluruh, bukan parti-parti tertentu sahaja. Nampaknya kita lihat dalam dua pilihan raya yang dibuat sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, perkara itu jelas disaksikan apabila PAS konsisten dengan pendirian memilih Perikatan Nasional. 

Katanya, walaupun dilihat PAS masih mengharapkan supaya UMNO dapat mempertimbangkan dan meneruskan Muafakat Nasional, namun UMNO seolah-olah tidak berminat sekiranya Bersatu masih ada dalam gabungan itu. 

“Jadi saya fikir PAS mungkin selesa sekarang dengan Perikatan Nasional walaupun di Melaka dan Johor, PN tidak menang tetapi kita nampak ada perubahan peningkatan prestasi PAS dan Bersatu di dua-dua negeri. 

“Di Johor, misalnya PN menang beberapa kerusi dan meningkatkan undi terutama di kalangan pengundi Melayu. Malah PAS dapat satu kerusi di Maharani,” katanya.

Dr Mazlan berkata, senario itu menunjukkan bahawa ada momentum bersama dengan Bersatu meskipun di negeri yang bukan kubu kuatnya.

“Ini baru negeri yang PAS tak kuat, kalau negeri yang PAS kuat, Terengganu, Kelantan, Kedah dan sesetengah negeri majoriti Melayu mungkin prestasi PN lebih baik daripada itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini UMNO kelihatan begitu yakin bahawa mereka akan menang tanpa bergabung dengan mana-mana parti, serta memandang rendah terhadap ajakan PAS untuk meneruskan kerjasama.

Justeru, di kala PAS meneruskan usaha untuk memujuk UMNO, Dr Mazlan turut mengesyorkan agar PAS mula menyusun strategi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan parti yang sudah sedia ada mahu bekerjasama. 

“Saranan saya terhadap PAS, PRU mungkin dah tak lama. Mungkin PAS dah kena buat keputusan akan bersama PN. Sebab setakat ini hanya Bersatu yang menghulur tangan persahabatan. 

“UMNO pula berdolak dalih. Sekejap nak sekejap tak nak. Malah di Kelantan dan Terengganu awal-awal lagi mereka dah isytihar mereka akan lawan PAS, takkan kerjasama.

“Jadi bagi saya PAS kena buat keputusan sekarang. Elok PAS perkuatkan PN kerana ia adalah satu pakatan yang berpotensi di Malaysia ini,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya PN boleh mewujudkan khemah besar dengan Pakatan Harapan (PH) sebagaimana yang pernah disarankan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, BN berkemungkinan besar dapat dikalahkan.

“Saya yakin bahawa kalau PN bergabung dengan PH mungkin boleh menewaskan BN dengan mudah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button