Berita Utama

Pencerobohan balak: Kelantan sedia beri kerjasama kepada SPRM

Lapor kes rasuah pada pihak berkuasa, bukan media sosial

KOTA BHARU, 20 Zulkaedah 1443H, Isnin – Kerajaan negeri Kelantan akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes pencerobohan balak, yang didakwa berlaku di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan mengalu-alukan sebarang siasatan oleh suruhanjaya itu.

“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan SPRM. Sepanjang pentadbiran PAS di Kelantan, tiada seorang pun pegawai negeri kita didakwa di mahkamah kerana rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Mohd Amar berkata, orang ramai harus melaporkan sebarang penyalahgunaan kuasa atau rasuah melibatkan kerajaan negeri kepada pihak berkuasa yang berkaitan, bukannya membuat dakwaan palsu di media sosial.

Terdahulu, SPRM negeri dilaporkan mengambil dokumen daripada beberapa jabatan negeri bagi membantu siasatan kes pembalakan haram, yang didakwa berlaku di Nenggiri.

SPRM negeri juga dijangka memanggil beberapa individu, termasuk kakitangan kerajaan dan mereka yang terlibat dalam pembalakan, untuk membantu dalam siasatannya.

SPRM mula menyiasat perkara itu selepas menerima maklumat mengenai dakwaan pembalakan haram di hutan simpan awal bulan ini.

Polis Gua Musang baru-baru ini mengesahkan menerima laporan mengenai pencerobohan hutan simpan Nenggiri pada 2 Jun lalu.

Kononnya pembalakan itu diketengahkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang dikenali sebagai ‘Save Kelantan’ baru-baru ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button