Berita Utama

Rafizi jangka Dewan Rakyat dibubar seawal Ogos atau September

Mulakan kempen PRU-15 1 Julai, sasar pengundi dari 3 kumpulan

KUALA LUMPUR, 20 Zulkaedah 1443H, Isnin – Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengumumkan akan mula berkempen menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pada 1 Julai ini.

Beliau mengambil keputusan itu selepas meramalkan Dewan Rakyat akan dibubar seawal Ogos atau September 2022 untuk membolehkan Bajet 2023 dibentangkan oleh kerajaan baharu.

Rafizi berkata, kempennya akan dilaksanakan secara tersusun setiap minggu mengikut jadual yang sudah ditetapkan.

Katanya, tumpuan utama kempen tersebut adalah untuk meyakinkan pengundi dari tiga kumpulan.

“Kumpulan itu adalah pengundi tegar PKR dan Pakatan Harapan (PH) di kerusi utama yang perlu dipertahankan; kedua, pengundi atas pagar yang mengundi di kerusi utama yang perlu dipertahankan.

“Ketiga, pengundi kali pertama (dalam kalangan pengundi muda bawah 25 tahun dan mereka yang tidak pernah mengundi selama ini) di kerusi utama yang perlu dipertahankan,” katanya dalam kenyataan.

Rafizi berpandangan, PKR dan Pakatan Harapan (PH) boleh menjadi blok terbesar di Dewan Rakyat selepas PRU-15 jika jumlah pengundi tegar pelbagai bangsa yang sebelum ini mengundi PKR dan PH dapat ditingkatkan untuk mencecah 70 peratus jumlah keluar mengundi.

“Purata 60 peratus keluar mengundi daripada jumlah pengundi sedia ada sejak beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN), iaitu peningkatan 10 peratus,” katanya.

Rafizi berkata, PKR dan PH juga perlu berjaya memikat kembali lima peratus pengundi atas pagar yang beralih sokongan selepas PRU-14 untuk kembali mengundi.

“PKR dan PH juga boleh berjaya jika mendapat 30 peratus daripada jumlah pengundi kali pertama pelbagai kaum,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button