Berita Utama

KDN kekal larangan terbit al-Quran dalam tulisan rumi

Haram ditulis, diguna mana-mana bahagian dalam al-Quran dengan tulisan bukan huruf Arab

KUALA LUMPUR, 2 Zulkaedah 1444H, Isnin – Larangan menerbitkan naskhah kitab suci al-Quran dalam tulisan rumi akan terus dikekalkan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata, pendirian itu selaras peruntukan undang-undang di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326).

Tegasnya, al-Quran mestilah menggunakan teks asal iaitu dalam bahasa Arab sahaja di negara ini.

“KDN juga merujuk keputusan Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) kali ke-24 yang bersidang pada 5 dan 6 Jun 1989 bahawa haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian dalam al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab.

“Ini (pendirian) tegas dan terus diberi perhatian tinggi kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Pencetakan Teks Al-Qur’an (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor, yang mempengerusikan mesyuarat kemudian memaklumkan pindaan RUU Akta 326 itu diluluskan sebulat suara Ahli Parlimen hari ini, selepas dibentang bagi bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat.

Terdahulu, RUU itu dibentangkan antara lain untuk menaikkan penalti serta hukuman penjara bagi kesalahan mencetak atau menerbitkan teks al-Quran yang tidak diperakui Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ).

RUU bertujuan meminda Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986 itu, mencadangkan peningkatan jumlah penalti maksimum daripada RM10,000 kepada RM50,000, manakala hukuman maksimum penjara pula daripada tiga tahun kepada lima tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button