Berita Utama

PRU15 mungkin selepas Bajet 2023: Penganalisis

Belanjawan beri kelebihan pada kerajaan pimpinan Ismail Sabri

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 21 Zulkaedah 1443H, Selasa – Desas-desus pembubaran Parlimen diadakan dalam masa terdekat bagi memberi ruang kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Ini pastinya akan memberi keuntungan kepada Barisan Nasional (BN) kerana ketika ini dilihat pengaruh parti itu semakin kuat.

Bagaimanapun, timbul tanda tanya apakah PRU15 akan dilaksanakan sebelum atau selepas pembentangan Bajet 2023 yang sentiasa dinantikan ramai pihak.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, perkara ini amat penting kerana sekiranya PRU15 diadakan sebelum pembentangan Bajet 2023, ia akan menimbulkan masalah kepada kerajaan baharu yang bakal mengambil tampuk pemerintahan untuk merangka dan menjejaskan tempoh pelaksanaannya.

“Tetapi jika dibuat selepas pembentangan belanjawan, ia akan memberi kelebihan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ini kerana belanjawan itu hala tuju politik di bawah pimpinan beliau. Rakyat dan pelabur akan menilai bagaimana kerajaan merangka belanjawan dan ia penentu kepada ekonomi dan sosial negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Atas sebab itu, Dr Syed Agil tidak menolak kemungkinan PRU15 akan diadakan selepas pembentangan Bajet 2023.

Pun begitu, beliau menegaskan kerajaan perlu mengambil serius isu yang membelenggu rakyat ketika ini antaranya krisis berkaitan keselamatan makanan.

“Jika tidak ia akan menjadi satu senjata kepada pihak pembangkang untuk menyalahkan kerajaan dan mencari kesalahan kerajaan jika diadakan PRU pada tahun ini.

“Saya tak fikir rakyat ketika ini fokus kepada kestabilan politik sebaliknya kepada masalah (dihadapi mereka),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button