Berita UtamaIstimewa

Projek PrEP umpama kempen ‘safe sex’, galak budaya songsang

Hanya elak penyakit kelamin tapi langsung tak selesai isu zina

BANGI, 18 Jamadilawal 1444H, Selasa – Hasrat Kementerian Kesihatan (KKM) mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV dengan melakukan projek rintis penggunaan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) bukan sahaja menimbulkan kegelisahan pada pengamal perubatan, bahkan seluruh masyarakat awam.

Ini kerana, bekalan ubatan pencegahan HIV akan merangkumi pemberiannya kepada pasangan homoseksual bagi mencegah jangkitan itu sesama mereka.

Dalam erti kata yang lain, bagi memastikan hubungan songsang dijalankan dengan selamat, mereka boleh diberikan PReP, kata Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS), Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Beliau berkata, tindakan ini seumpama kempen ‘safe sex’ dengan pemberian kondom yang pernah dianjurkan sekitar tahun 2018.

Kempen penggunaan kondom ini bagi tujuan mengelakkan penularan penyakit kelamin dan kelahiran bayi luar nikah, namun ia secara tidak langsung tidak menyelesaikan isu zina.

“Pemberian PReP ini telah dibantah oleh persatuan doktor-doktor pengamal perubatan sendiri.

“Pihak Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Malaysia (I-Medik) melihat tindakan KKM yang mahu meluaskan penggunaan ubat PrEP kepada pasangan homoseksual berstatus HIV-negatif yang seakan memberi galakan budaya songsang itu di kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Sanusi berkata, mungkin ada yang menggunakan hujah bahawa pemberian PReP ini adalah bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar.

Namun, hakikatnya ia tidak menyelesaikan mudarat yang lebih utama iaitu menjunjung perintah Allah dalam menjauhi perbuatan terkutuk ini.

“Jika kita terus melayani keinginan nafsu serakah mereka untuk melakukan perbuatan terkutuk ini, kita sebenarnya membiarkan mereka terjerumus dalam kerosakan. Ini pada hakikatnya tidak membantu mereka.

“Malah barangkali perbendaharaan negara juga dihabiskan bagi menyantuni kehendak mereka.

“Wang cukai yang dibayar oleh rakyat negara ini digunakan untuk pembelian ubatan yang membantu pelaku homoseksual melakukan hubungan songsang dengan jalan yang lebih selamat,” katanya.

Apa yang lebih membimbingkan, berdasarkan laporan Global AIDS Monitoring pada tahun 2021, trend penularan jangkitan HIV telah berubah di mana golongan MSM – hubungan seksual lelaki dengan lelaki – telah mendominasi carta jangkitan HIV ini.

“Dalam kebimbangan peningkatan isu hubungan songsang ini semakin menular dalam masyarakat, kita pula membuka ruang baharu dengan pemberian PReP ini.

“Oleh yang demikian, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar (Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM) menegaskan bahawa kempen abstinen (iaitu penghindaran dari perbuatan seks) itu haruslah menjadi tunjang, mencegah HIV bukan hanya untuk membekalkan ubat kepada mereka yang berisiko tinggi seperti homoseksual semata-mata.

“Pendekatan bersepadu antara pengamal perubatan, proses pendidikan, penyampaian pendakwah serta ketegasan kepimpinan haruslah bergabung dalam mendidik masyarakat menjauhi perbuatan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button