Adakah filem Mat Kilau boleh jadi ‘game-changer’ industri filem negara?
Perlu tampilkan filem ada nilai sejarah, falsafah dalam membina ummah

SAYA akui 200 peratus usaha menerbitkan sesebuah filem adalah antara kerjaya yang sangat sukar, kompleks, dan bermain dengan 1001 pertimbangan elemen antara bajet kos, senimatografi, kreativiti plot, naratif mesej, persembahan lakonan, grafik, props, muzik, dan ratusan lagi elemen yang diperlukan bagi terhasilnya sebuah filem.
Apatah lagi, menerbitkan sebuah filem sejarah yang bukan dalam ‘main-stream‘.
Sebab penerbit filem sebenarnya juga adalah bisnesman, dan produk bisnesnya adalah filem. Jadi ‘profit-able‘ adalah kayu ukur yang sangat besar, lebih-lebih lagi kalau kosnya sampai berjuta.
Macam kos filem Mat Kilau ni, dilaporkan cecah kos RM8 juta.
Apabila trailer filem Mat Kilau ini keluar, timbul satu persoalan di benak fikiran saya.
Adakah filem Mat Kilau mampu box-office, dan sekiranya filem ini berjaya menarik tontonan di pawagam hingga box-office, adakah ia mampu menjadi ‘game-changer’ bagi industri filem negara?
Ramai tahu, karya filem negara kita lebih banyak didedahkan dengan hiburan percintaan-aksi-komedi-mistik.
Kalau ikut carta kutipan tertinggi sepanjang sejarah pun, Munafik 2 (RM37.7 juta) dan Hantu Kak Limah (RM36.2 Juta), dua-dua adalah seram mistik.
Jika dibariskan 50 filem tempatan yang tertinggi kutipan, tidak ada satu pun yang berasaskan kepada filem sejarah, kecuali Upin Ipin Keris Siamang Tunggal dan Hikayat Merong Mahawangsa.
Ini masih belum menjadikan filem sejarah sebagai satu produk filem yang ‘profit-able’ dari kaca mata syarikat penerbitan tempatan. Buktinya, jarang kita dengar penerbitan filem tempatan yang menceritakan sejarah.
Sekiranya filem Mat Kilau ini berjaya sebagai box office, ia mungkin belum menjadi ‘game-changer’ industri tetapi bakal menjadi satu lagi tambah nilai yang sangat dalam kayu ukur para penerbit tanah air untuk lebih melabur dalam produksi filem epik sejarah.
Bagi saya untuk menjadi satu ‘game-changer’ ia perlukan kepada eko-sistem atau rantaian industri yang baru (yang ni panjang cerita), dan ia bermula dari ‘keberanian’ pelaburan dari syarikat-syarikat penerbitan untuk labur dalam filem yang sarat dengan nilai.
Filem-filem yang sarat dengan nilai sejarah atau falsafah adalah filem yang mempunyai kesukaran dalam menambat demand penonton, sekiranya tidak digarap visual dan storylinenya dengan baik. Namun bukan bermaksud ia adalah produk yang tidak komersil.
Hollywood, Korea, China, Turki sudah agak terkehadapan dalam kepelbagaian ‘game-changer’ industri disebabkan pemain-pemain syarikat penerbitan mereka agak ‘berani’, termasuk hasilkan filem epik-sejarah yang untung komersil ratusan juta USD seperti Last Samurai (2003), Fetih 1453 (2012), dan Red Cliff (2008).
Jadinya penting untuk anda juga ‘berani’ menonton filem Mat Kilau ini, jika ingin melihat satu arus perubahan dalam industri filem-filem tempatan yang lebih menampilkan mesej, nilai sejarah, dan falsafah yang lebih mendalam dan membina ummah.
Ustaz Abdur Rahman Raji
Naib YDP Isma Kajang