Berita Utama

Kes kanser di Malaysia meningkat 11 peratus

Faktor kematian ke-4 di hospital KKM iaitu 11.56 peratus

BANGI, 2 Rejab 1443H, Jumaat – Malaysia melaporkan peningkatan kes kanser sebanyak 11 peratus iaitu 115,238 kes bagi tempoh 2012 hingga 2016 berbanding 103,507 kes untuk 2007 hingga 2011.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kanser juga adalah sebab utama kematian di hospital-hospital swasta (34.95 peratus) dan faktor kematian keempat di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) (11.56 peratus).

Beliau berkata, penyakit berkenaan juga adalah antara 10 sebab utama kemasukan di hospital KKM (5.17 peratus) dan hospital swasta (5.37 peratus).

“Di Malaysia, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau usus besar (16.9 peratus), kanser paru-paru (14.8 peratus) dan kanser prostat (8.1 peratus).

“Dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9 peratus) diikuti dengan kanser kolorektal (10.7 peratus) dam kanser serviks (6.2 peratus),” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kanser Sedunia, hari ini.

Dengan tema Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser atau Close the Care Gap, Khairy berkata, kanser bukan sahaja memberi kesan negatif kepada pesakit, tetapi turut termasuk psikososial dan ekonomi keluarga serta pembangunan ekonomi negara.

“Kadar kelangsungan hidup relatif bagi pesakit-pesakit kanser setelah lima tahun disahkan menghidap kanser adalah 11.0 peratus untuk kanser paru-paru, 51.1 peratus kanser kolorektal, 51.6 peratus kanser serviks, 66.8 peratus dan 73.0 peratus kanser payudara.

“Sebanyak 63.7 peratus dari keseluruhan kanser dikesan pada tahap lewat (tahap III dan IV).

“Tahap kanser semasa penyakit ini dikesan menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup pesakit-pesakit kanser,” katanya.

Beliau berkata, pengesanan awal serta rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh.

“Dari aspek penjagaan dan rawatan untuk pesakit kanser di Malaysia, banyak juga kemajuan yang telah dicapai.

“KKM menyediakan perkhidmatan rawatan dan penjagaan yang terbaik serta berkualiti untuk pesakit-pesakit kanser,” katanya.

Namun, beliau tidak menafikan wujud ketidaksamaan dalam penjagaan dan rawatan kanser di negara ini.

Katanya, kebanyakan perkhidmatan tertumpu di pusat-pusat bandar dan sukar untuk dicapai oleh pesakit yang tinggal jauh dari bandar atau pedalaman.

“Kerajaan sebelum ini melalui KKM, telah memperkenalkan program PeKa B40 bagi menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah.

“Ia merangkumi saringan kanser tertentu, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan,” katanya.

Bagaimanapun, Khairy berkata, dengan beban penyakit NCD termasuklah kanser yang terus meningkat, kerajaan memerlukan satu reformasi sistem kesihatan yang kalis masa hadapan dan akan turut merangkumi reformasi sistem pembiayaan kesihatan.

Sehubungan itu, satu Kertas Putih Kementerian Kesihatan Malaysia akan disediakan untuk dibentangkan di Parlimen bagi mendapat sokongan kedua-dua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Sempena sambutan Hari Kanser Sedunia pada tahun ini, saya menyeru kepada semua supaya sentiasa menjadikan amalan cara hidup sihat dan menjaga kesihatan diri sebagai satu daripada agenda utama dalam kehidupan seharian kita.

“Ayuh berganding bahu dan beri sokongan padu kepada KKM untuk mengurangkan beban kanser yang kian meningkat dan bersama-sama menangani jurang penjagaan kanser di negara kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button