Berita UtamaDunia

Banjir di Bangladesh, India makin buruk

Sekurang-kurangnya 69 nyawa terkorban sejak 2 minggu lalu

DHAKA, 21 Zulkaedah 1443H, Selasa – Keadaan banjir di Bangladesh dan timur laut India semakin buruk tatkala pihak berkuasa bergelut membantu lebih 9.5 juta penduduk yang terkandas dan kekurangan makanan serta minuman selepas hujan lebat berterusan selama beberapa hari.

Hujan monsun yang lebat menyebabkan banjir terburuk berlaku di beberapa kawasan rendah di Bangladesh dan negeri Assam India sehingga membunuh sekurang-kurangnya 69 nyawa sejak dua minggu lalu.

“Orang ramai kini meneruskan hidup tanpa bekalan makanan. Mereka tidak mendapat air minuman sejak banjir menenggelamkan semua telaga tiub,” kata Abu Bakar, 26, seorang penduduk di daerah Sunamganj yang terjejas teruk di timur laut Bangladesh kepada Reuters melalui telefon.

Musim tengkujuh yang membawa hujan lebat ke Asia Selatan antara Jun dan Oktober, sering mencetuskan banjir terutamanya di kawasan rendah seperti Bangladesh.

Cuaca ekstrem di Asia Selatan menjadi lebih kerap dan pakar alam sekitar memberi amaran bahawa perubahan iklim boleh membawa kepada bencana yang lebih serius.

Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Bencana Bangladesh, Atiqul Haque berkata, tiga lagi daerah di bahagian utara dan tengah negara itu turut dinaiki air.

“Pentadbiran tempatan bersama tentera, tentera laut, polis, bomba dan perkhidmatan kecemasan serta sukarelawan telah terbabit dalam operasi menyelamat dan bantuan,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button