Berita UtamaIstimewa

BERJASA sedia hadapi PRU15

Bina jajaran baharu dengan tawaran pimpinan berwibawa dari NGO, tokoh kebangsaan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 21 Zulkaedah 1443H, Selasa – Parti BERJASA sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana persiapan telah lama dilaksanakan daripada pelbagai sudut kekuatan.

Presidennya, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, pihaknya aktif bertemu dan berbincang dengan parti-parti yang ingin membina semula negara serta membetulkan kerosakan sistem politik tanah air, menerusi jajaran baharu.

Beliau berkata, jajaran baharu itu akan menghidangkan pengundi dengan pimpinan baharu yang lebih berwibawa. 

“Sudah sampai masanya jajaran baharu mengambil alih pimpinan negara dengan muka baharu, pemain muka lama yang bermasalah integriti mesti direhatkan demi kemajuan negara yang bermaruah.

“BERJASA telah menghimpunkan ramai daripada kalangan pimpinan parti berwibawa, pimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh kebangsaan untuk turut bersama pimpin negara ini. 

“Kita telah menyakinkan mereka bahawa kalau kita tidak bertindak sekarang membetulkan dan membina negara, bila lagi dan siapa lagi yang kita nak harapkan kalau bukan kita yang cintakan untuk membina semula negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam usaha memantapkan jajaran baharu, Ustaz Zamani berkata, BERJASA turut bersedia menerima pelawaan mana-mana parti untuk bekerjasama, dengan syarat ia mestilah membersihkan partinya daripada korupsi dan bebas tuduhan rasuah.

Sementara itu, BERJASA dan beberapa parti lagi yakin PRU15 mampu memberikan saingan sengit kepada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).

“Kebencian rakyat kepada parti-parti sedia ada akan memberikan kelebihan kepada jajaran baharu ini. Parti sedia ada gagal dalam menjalankan mandat rakyat bahkan lebih kepada kepentingan kuasa individu semata-mata. 

“PRU15 ini, rakyat akan ada pilihan calon calon terbaik dan berwibawa, saya mengharapkan rakyat mesti cerdik dan bijak untuk memilih. Masa depan dan kemajuan negara adalah terletak kepada kuasa rakyat,” katanya.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai tempoh sehingga Julai tahun depan sebelum mengadakan PRU15.

Namun, desas-desus PRU15 semakin hampir apabila perdana menteri sendiri memberi ‘hint’ bahawa pembubaran Parlimen tidak akan dilewatkan walau sesaat.

Katanya, paling lewat PRU15 boleh diadakan pada Julai 2023, bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan pilihan raya mungkin diadakan lebih awal daripada tarikh akhir penggal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button