Berita UtamaDunia

Pembeli gas terbesar Russia cari alternatif bekalan bahan api

Jerman cadang operasi semula loji janakuasa arang batu

BERLIN, 21 Zulkaedah 1443H, Selasa – Pembeli gas terbesar Russia di Eropah berlumba-lumba mencari bekalan bahan api alternatif dan mungkin akan membakar lebih banyak arang batu untuk mengatasi pengurangan aliran gas.

Jerman, Itali, Austria dan Belanda memberi isyarat bahawa loji janakuasa arang batu boleh membantu benua itu melalui krisis yang menyebabkan harga gas melonjak dan menambah cabaran yang dihadapi penggubal dasar yang memerangi inflasi.

Syarikat minyak dan gas multinasional Itali, Eni berkata, ia diberitahu oleh Gazprom – syarikat gas terbesar Russia – bahawa pihaknya akan menerima hanya sebahagian daripada permintaan untuk bekalan gas pada hari Isnin.

Keputusan itu sekali gus mendorong negara itu mengisytiharkan keadaan berjaga-jaga yang akan mencetuskan langkah penjimatan gas.

Jerman, yang juga mengalami aliran gas Russia yang lebih rendah, mengumumkan pada hari Ahad rancangan terbaharunya untuk meningkatkan tahap simpanan gas dan dapat memulakan semula loji janakuasa arang batu yang sebelum ini dihentikan berperingkat.

“Itu menyakitkan, tetapi dalam keadaan ini adalah satu keperluan untuk mengurangkan penggunaan gas.

“Tetapi jika kita tidak melakukannya, maka kita menghadapi risiko fasiliti penyimpanan tidak akan penuh pada penghujung tahun menjelang musim sejuk,” kata Menteri Ekonomi Robert Habeck.

Denmark juga telah memulakan langkah pertama pelan gas kecemasan disebabkan ketidaktentuan bekalan Russia.

Russia pada Isnin mengulangi kritikan awalnya bahawa Eropah perlu dipersalahkan selepas Barat mengenakan sekatan sebagai tindak balas kepada operasi ketenteraan Moscow di Ukraine.

Gazprom mengurangkan kapasiti minggu lalu di sepanjang Nord Stream 1 – saluran paip utama yang membekalkan Jerman dan lain-lain – berikutan kelewatan pemulangan peralatan yang diservis oleh Siemens Energy Jerman di Kanada.

“Kami mempunyai gas, ia sedia untuk dihantar, tetapi orang Eropah mesti mengembalikan peralatan itu, yang sepatutnya dibaiki di bawah tanggungjawab mereka,” kata jurucakap, Kremlin Dmitry Peskov.

Itali, yang jawatankuasa teknikalnya untuk gas dijangka bermesyuarat pada hari ini, berkata ia boleh mengisytiharkan keadaan berjaga-jaga yang tinggi untuk bekalan gas minggu ini jika Russia terus mengekang bekalan.

Ia akan mencetuskan langkah untuk mengurangkan penggunaan, termasuk catuan gas untuk pengguna industri terpilih.

Selain itu ia juga meningkatkan pengeluaran di loji janakuasa arang batu dan meminta lebih banyak import gas daripada pembekal lain di bawah kontrak sedia ada. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button