Berita Utama

Dakwa kerajaan tak stabil, MKT UMNO mahu PRU15 disegerakan

Muhyiddin tak patut bertemu DAP sedangkan Bersatu dalam kerajaan

BANGI, 22 Zulkaedah 1443H, Rabu – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disegerakan kerana mendakwa kerajaan hari ini – yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob – tidak stabil.

Beliau berkata, antara faktor berlaku ketidakstabilan itu termasuklah tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan pembangkang.

Katanya, Muhyiddin tidak sepatutnya bertemu dengan DAP kerana Bersatu pada masa ini bersama Barisan Nasional (BN), PAS dan beberapa parti lain berada dalam kerajaan memerintah sekarang.

“Macam mana kerajaan hendak stabil, jika ada pemimpin daripada parti yang bersama-sama membentuk kerajaan mengadakan perbincangan dengan pembangkang seperti DAP.

“Disebabkan ketidakstabilan ini, eloklah PRU15 disegerakan, saya berpendapat eloklah pada tahun ini juga,” katanya.

Serentak itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, PRU15 perlu dipercepatkan demi menstabilkan kerajaan.

Bagaimanapun tegasnya, cadangan mengadakan PRU itu tiada kaitan dengan kes-kes mahkamah yang dihadapi pemimpin-pemimpin tertentu.

“Jika kerajaan stabil semua urusan pasti berjalan lancar dan masalah negara dan rakyat dapat diselesaikan segera.

“Yakinlah, kerajaan yang stabil dapat menyelesaikan pelbagai masalah rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan, UMNO tidak pernah campur tangan dalam urusan melibatkan kes-kes mahkamah. Kes mahkamah diselesaikan melalui mahkamah untuk tentukan bersalah atau tidak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button