Berita UtamaDunia

Korea Selatan lapor kes pertama cacar monyet

Ujian diagnostik, penyiasatan epidemiologi ke atas virus sedang dijalankan

SEOUL, 22 Zulkaedah 1443H, Rabu – Korea Selatan melaporkan dua kes pertama yang disyaki jangkitan cacar monyet di negara itu.

Salah seorang yang disyaki menghidap cacar monyet adalah warga asing – yang dilaporkan menunjukkan gejala berpotensi sejak Ahad dan memasuki negara itu pada Isnin.

Dia kini sedang dirawat di katil pengasingan di sebuah hospital di bandar Busan, kira-kira 300km tenggara ibu kota Seoul.

Seorang lagi, warga Korea yang menunjukkan gejala ketika memasuki negara itu dari Jerman pada petang Selasa, telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Incheon untuk rawatan.

“Ujian diagnostik dan penyiasatan epidemiologi ke atas cacar monyet sedang dijalankan dan pihak berkuasa kesihatan akan segera mengadakan taklimat untuk mengumumkan langkah-langkah dan rancangan tindak balas sebaik keputusannya dikeluarkan,” kata Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) dalam satu kenyataan.

KDCA bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai individu terbabit.

Awal bulan ini, Korea Selatan menetapkan cacar monyet sebagai penyakit berjangkit tahap kedua, mengikut sistem empat peringkatnya, dengan 22 penyakit berjangkit termasuk COVID-19, taun dan cacar air dimasukkan dalam kategori yang sama. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button