Berita UtamaDunia

Ekonomi Sri Lanka tumbang akibat bebanan hutang

Berdepan krisis kekurangan makanan, bahan api dan elektrik

COLOMBO, 22 Zulkaedah 1443H, Rabu – Ekonomi Sri Lanka akhirnya tumbang akibat bebanan hutang, termasuk setelah beberapa bulan negara itu berdepan kekurangan makanan, bekalan bahan api dan elektrik.

Kemelut itu juga menyebabkan kepulauan Asia Selatan berkenaan tidak lagi mampu mengimport bekalan bahan api.

Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe berkata, negaranya kini berdepan situasi lebih serius dalam mengatasi masalah kekurangan bekalan bahan api, elektrik dan makanan,

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Sri Lanka turut kehilangan pelancong berikutan kesan pandemik COVID-19, selain berdepan lonjakan kos komoditi.

Katanya, buat masa ini Ceylon Petroleum Corporation menanggung hutang sebanyak AS$700 juta.

“Situasi yang kita alami ini menyebabkan tiada negara dan organisasi di dunia ini bersedia memberikan bantuan bekalan petrol dan memberi hutang kepada kita,” katanya.

Pada masa sama, Wickremesinghe mengakui kerajaan gagal bertindak tepat pada masanya untuk mengubah keadaan, berikutan rizab asing Sri Lanka kini semakin berkurangan.

Jumaat lalu, Menteri Tenaga dan Kuasa, Kanchana Wijesekera berkata, bekalan bahan api Sri Lanka mampu bertahan selama kira-kira lima hari lagi, sambil menunggu bantuan kredit baharu daripada kerajaan India sebanyak AS$500 juta untuk bahan api.

Negara dengan 22 juta penduduk itu terperangkap dalam krisis kewangan terburuk dalam tujuh dekad selepas rizab pertukaran asingnya menyusut ke paras terendah, dengan kehabisan dolar untuk membayar import penting termasuk makanan, ubat-ubatan dan bahan api.

Kekurangan bahan api bertambah buruk dengan barisan sepanjang beberapa kilometer di beberapa stesen minyak di seluruh negara, membawa kepada protes apabila pemilik kenderaan menunggu, kadangkala semalaman, untuk petrol dan diesel. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button