Berita Utama

Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah diwujudkan semula

Dipengerusikan bekas KP Jakim, 12 tokoh dilantik sebagai ahli JKMMS

BANGI, 22 Zulkaedah 1443H, Rabu – Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) diwujudkan semula bagi mempertingkat dan memartabatkan sistem perundangan Syariah secara holistik, selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.

“Kerajaan yakin kewibawaan serta pengalaman luas beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam dan akan membantu usaha-usaha kerajaan untuk memperkukuhkan institusi kehakiman Syariah.

“Dalam masa sama, 12 tokoh dilantik sebagai ahli JKMMS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tokoh berkenaan terdiri daripada Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan Ketua Hakim Syarie JKSM, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Turut dilantik Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz.

Selain itu, Profesor Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal dan Profesor Jabatan Syariah dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Datuk Dr Ahmad Hidayat Buang.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang; peguam, Datuk Sulaiman Abdullah; bekas Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Seri Dr Md Yusup Che Teh dan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Nassir Abdul Aziz.

Idris berkata, beliau yakin dengan gabungan kewibawaan ahli-ahli yang dilantik untuk bersama-sama membuat kajian, memberikan syor dan cadangan serta usaha-usaha ke arah penambahbaikan serta transformasi Mahkamah Syariah di Malaysia.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua ahli yang dilantik. Selamat menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama,negara dan ummah.

“Semoga Allah sentiasa mengurniakan pedoman dalam setiap tindakan yang dilaksanakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button