Berita Utama

Kanak-kanak kritikal terambil dadah tunjuk perubahan positif

Ibu mohon orang ramai doakan keadaan anak kembali pulih

BANGI, 22 Zulkaedah 1443H, Rabu – Kanak-kanak lelaki empat tahun yang dilaporkan kritikal kerana terdapat kandungan dadah dalam badannya kini memberikan maklum balas positif dengan menggerakkan kedua-dua belah kakinya.

Perkongsian berkenaan dimaklumkan ibunya, Rohaya Hassan yang melahirkan rasa syukur kerana perubahan positif yang ditunjukkan sangat melegakan hatinya.

“Malam tadi  beberapa kali menjenguk anak, selagi anak tidak buka mata, perasaan bimbang itu akan bertapak,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Kanak-kanak itu telah ditidurkan oleh pasukan doktor yang merawat di Hospital Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) akibat kandungan dadah yang tinggi dalam badanya.

Ibu muda berusia 36 tahun itu turut merayu supaya orang ramai bersama-sama mendoakan dan keadaan anak kembali pulih.

“Saya berharap orang ramai dapat menitipkan doa supaya anak saya kembali sembuh seperti biasa,” katanya.

Isnin lalu, kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan dari kampung Sri Bintang, Kuala Krai berada dalam kritikal selepas pemeriksaan doktor mendapati ada kandungan dadah dalam badannya.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, seorang doktor membuat laporan mengenai kejadian berkenaan selepas mangsa dihantar oleh ibunya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Susulan kejadian itu, bapa saudara kanak-kanak tersebut berusia 30 tahun yang juga seorang penagih dadah tegar, telah ditahan.

Pautan terdahulu;

Kanak-kanak kritikal ada dadah dalam badan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button