M40 terkesan teruk akibat mansuh subsidi minyak masak
Syor kerajaan wujudkan mekanisme baharu ringankan beban rakyat

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 22 Zulkaedah 1443H, Rabu – Pemansuhan kawalan harga siling ayam dan telur ayam serta subsidi minyak masak dijangka memberi kesan paling teruk kepada golongan M40, memandangkan mereka tidak menerima bantuan terus daripada kerajaan.
Pakar ekonomi, Prof Dr Abu Sufian Yaacob berkata, golongan pertengahan itu pastinya akan terbeban, apatah lagi bagi mereka yang tinggal di bandar besar dengan kos sara hidup lebih tinggi.
“Keadaan ini akan memberi tekanan berganda kepada rakyat, berikutan bukan sahaja menyebabkan barangan berkenaan meningkat tetapi barangan asas lain juga ikut sama.
“Situasi ini juga dijangka menyebabkan inflasi makanan dengan lebih tinggi di tengah-tengah kemuncak harga komoditi,” katanya kepada dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol dua, tiga dan lima kilogram bermula 1 Julai ini.
Menerusi pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam, kerajaan juga memutuskan untuk tidak meneruskan kawalan harga siling ayam dan telur ayam.
Katanya, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran lebih stabil dan dalam jangka masa panjang pula dapat menstabilkan harga.
Bagaimanapun, menurut Prof Abu Sufian, langkah yang dilaksanakan kerajaan ketika ini seperti ‘tidak kena pada musim’, di mana keadaan rakyat sedang berdepan krisis sekuriti makanan yang semakin teruk.
“Lagi pun rakyat baru bangkit selepas pandemik COVID -19, yang menyebabkan semua pihak terjejas teruk.” katanya.
Beliau bimbang apabila harga barangan diapungkan, ia berpotensi mendorong orang tengah mengambil kesempatan mengaut keuntungan secara berlebihan.
“Situasi itu ternyata memberi kesan kepada golongan bawahan ini yang menambahkan lagi beban terutama isi rumah yang ramai.” katanya.
Atas dasar itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan mekanisme baharu atau sistem yang efektif bagi meringankan beban rakyat, terutama membabitkan barang keperluan asas yang digunakan semua individu.
Pada masa sama, masyarakat juga disarankan untuk mengutamakan produk tempatan sebagai mengelak bergantung kepada produk import supaya pendapatan negara dapat dijimatkan, sekali gus boleh disalurkan semula melalui subsidi kepada rakyat.