Berita Utama

Mansuh hukuman mati boleh jejaskan keselamatan negara

Negara ASEAN lain masih laksana terhadap penyeludup, pengedar dadah

BANGI, 22 Zulkaedah 1443H, Rabu – Pemansuhan hukuman mati mandatori – yang asalnya dibuat pihak seperti ahli politik dan kumpulan berkepentingan atas dasar faktor kemanusiaan hingga menyebabkan kerajaan mempertimbangkannya dan melakukan tinjauan awam – disifatkan tidak wajar.

Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Amer Fawwaz Mohamad Yasid berkata, cadangan kerajaan memansuhkannya perlu diperhalusi lebih mendalam.

Ini kerana negara ASEAN seperti Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand dan Myanmar masih melaksanakan hukuman mati kepada penyeludup serta pengedar dadah di negara mereka.

Tegasnya, rasional pelaksanaan hukuman gantung sampai mati bukan sahaja penting bagi mengawal penyeludupan dadah ke negara ini, bahkan menjadi pengajaran kepada individu terbabit dalam kegiatan dadah kerana Malaysia tidak akan berkompromi dalam isu jenayah itu dalam negara ini.

“Pemilikan dadah seberat lebih 15 gram di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 membawa kepada hukuman gantung sampai mati mandatori kepada penyeludup dan pengedar dadah. Kerajaan melaksanakan proses penggubalan hukuman ini bermula April 1975, sebagai langkah tidak bertoleransi dengan golongan itu.

“Pada masa sama, negara jiran kita, Singapura juga menjadi negara pertama menjalankan pelaksanaan hukuman gantung sampai mati kepada pengedar dan penyeludup dadah di republik terbabit.

“Namun di sebalik pelaksanaan hukuman gantung sampai mati mandatori, kegiatan penyeludupan dadah masih berlaku hingga ke hari ini tanpa ada sebarang jalan penyelesaian,” katanya menulis di Berita Harian.

Amer Fawwaz tidak menolak kemungkinan keselamatan negara bertambah terjejas sekiranya hukuman gantung sampai mati mandatori kepada pengedar dan penyeludup dadah dimansuhkan.

Jelasnya, ini kerana sindiket penyeludupan dadah tempatan serta antarabangsa berkemungkinan menjadi lebih berani menjalankan operasi di negara ini.

“Realitinya, rasional pelaksanaan hukuman gantung sampai mati kepada pengedar dan penyeludup dadah adalah wajar kerana kegiatan jenayah penyeludupan serta pengedaran dadah dijalankan bukan sahaja mendatangkan permasalahan serius kepada penagih dadah, bahkan mengancam keamanan masyarakat.

“Oleh itu, kerajaan diharap memperhalusi cadangan pemansuhan hukuman gantung sampai mati mandatori membabitkan pengedar dan penyeludup dadah kerana hukuman berkenaan dilihat bagi mengawal aktiviti jenayah membabitkan dadah daripada terus berleluasa,” katanya.

Pautan berita;
https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/06/968254/lihat-kesan-buruk-akibat-dadah-sebelum-hapus-hukuman-mati

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button