Berita Utama

Penyatuan ummah penting untuk PRU15: PAS Pulau Pinang

Diyakini mampu elak tragedi 22 bulan pemerintahan PH berulang

BANGI, 22 Zulkaedah 1443H, Rabu – Sudah tiba masanya untuk parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu serta rakan lain bekerjasama lebih erat dalam keadaan politik negara yang tidak stabil, terutama berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Penyatuan ummah itu diyakini mampu mengelakkan tragedi 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan pasca PRU14 berulang, kata Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff.

“Melihat suasana politik di Pulau Pinang khususnya, penyatuan ummah sangat penting bagi membenam DAP dan PH daripada memerintah negeri ini.

“Kelalaian Melayu-Islam di Pulau Pinang yang tidak menjalin hubungan penyatuan ummah ini dengan sebaiknya, sudah semestinya harapan untuk merampas Pulau Pinang ataupun ingin menjatuhkan DAP dan PH hanyalah omongan kosong,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Fauzi menjelaskan, PAS Pulau Pinang yakin usaha penyatuan memerlukan kesungguhan jiwa yang besar serta sikap toleransi dan sabar demi mencapai kesejahteraan.

Beliau berkata, PAS Pulau Pinang kekal dengan pendirian untuk tidak akan bekerjasama dengan DAP dan PH.

“Khemah besar yang dicadangkan tersasar dari agenda penyatuan ummah dan cadangan itu hanya memberi nyawa kepada PH semata-mata,” katanya.

Ahad lalu, PAS menegaskan bahawa parti itu menolak idea ‘khemah besar’ dan memfokuskan kepada agenda penyatuan ummah.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, prinsip parti itu dalam seruan penyatuan ummah adalah jelas.

“PAS tetap berdiri teguh dengan prinsip kerjasama politik yang menguatkan dahulu umat Islam dalam masa sama berdiri dalam satu perikatan dengan parti bukan Islam yang tidak ekstrem dan menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan PAS tidak akan berhenti menyeru seluruh parti Melayu Islam baik UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bersama-sama dalam membina semula negara dan memperkukuhkan umat Islam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button