Berita Utama

Pekerja boleh mohon aturan kerja fleksibel mulai 1 September

Hanya perlu buat surat permohonan kepada majikan

BANGI, 23 Zulkaedah 1443H, Khamis – Mulai 1 September depan, pekerja di negara ini dibenar memohon aturan kerja fleksibel (AKF) kepada majikan masing-masing mengikut pindaan Akta Kerja 1955.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, pekerja hanya perlu membuat surat permohonan kepada majikan sama ada memohon perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan perubahan tempat kerja.

“Majikan pula perlu memberi jawapan dalam tempoh 60 hari.

“Dalam surat jawapan bertulis majikan kepada pekerja, mereka perlu nyatakan sama ada menerima permohonan atau menolak permohonan dengan alasan yang perlu dinyatakan,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Sebelum ini, tinjauan oleh Qualtrics syarikat berpengalaman mengendalikan tinjauan secara dalam talian mendapati, kira-kira 62 peratus pekerja sepenuh masa di negara menyatakan kesediaan untuk bekerja secara fleksibel berbanding hari kerja yang pendek seperti empat hari seminggu.

Secara keseluruhan, di Asia Tenggara keutamaan untuk fleksibiliti adalah sebanyak 60 peratus memilih minggu bekerja yang lebih singkat.

Mengulas lanjut, Awang menjelaskan, keputusan kerajaan dalam AKF itu bagaimanapun tidak memaksa majikan melaksanakannya, sebaliknya ia bergantung kepada kesesuaian agensi serta syarikat masing-masing.

Katanya, pihaknya bersedia membuat kajian mengenai dasar tempoh bekerja empat hari dalam seminggu seperti mula dilaksanakan di beberapa negara maju.

Namun, kajian mengenai perkara itu perlu dilakukan secara menyeluruh kerana terdapat majikan yang terkesan atas faktor produktiviti rendah.

“Jadi majikan pun perlu ada kajian tersendiri mengenai perkara ini dan kemudian boleh dibawa dalam perbincangan bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan JPPM,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button