Berita UtamaDunia

Pelampau Yahudi tikam mati rakyat Palestin ditahan

Penyelaras Khas PBB kutuk serangan, mahu pelaku dibawa ke pengadilan

BAITULMAQDIS, 23 Zulkaedah 1443H, Khamis – Seorang pelampau Yahudi dipercayai menikam lelaki Palestin di Tebing Barat yang diduduki telah ditahan polis Israel.

Memetik laporan media Israel, suspek kini dihalang daripada berjumpa peguam.

Dalam kejadian pada Selasa lalu, Ali Hassan Harb cedera parah ditikam ketika penduduk Palestin cuba menghalau sekumpulan peneroka haram dari tanah mereka.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, Ali Hassan ditikam di bahagian jantung oleh salah seorang pelampau Yahudi sehingga menyebabkan dia meninggal dunia.

Bagaimanapun, jurucakap polis Israel awalnya mendakwa tidak mengetahui secara jelas suspek yang membunuh Ali Hassan dan kononnya masih menyiasat kejadian itu.

Insiden berkenaan sekali gus meningkatkan lagi keganasan di Tebing Barat dan Israel.

Sejak Januari, tentera pengganas Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 46 rakyat Palestin di Tebing Barat.

Pada Rabu, ratusan rakyat Palestin berarak dalam pengebumian Ali Hassan di bandar Palestin Iskaka dekat Salfit di utara Tebing Barat.

Kira-kira 600,000 penduduk Israel tinggal di penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, wilayah yang ditawan Israel dalam perang Timur Tengah 1967.

Kebanyakan negara menganggap penempatan Israel sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa, namun Israel mempertikaikan kenyataan itu.

Dalam pada itu, Penyelaras Khas PBB untuk Proses Keamanan Timur Tengah, Tor Wennesland mengutuk serangan berkenaan di Twitter.

“Pelaku keganasan mesti bertanggungjawab dan segera dibawa ke muka pengadilan,” katanya. – Agensi

Pautan berkaitan;

Pertahan tanah, rakyat Palestin maut ditikam penceroboh Israel

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button