Berita Utama

Perbalahan dalam UMNO dijangka meningkat walau menang PRU15

Sudah tentu beri kesan kepada Malaysia dalam membuat dasar: Fitch Solutions

BANGI, 23 Zulkaedah 1443H, Khamis – Perbalahan membabitkan beberapa kumpulan dalam UMNO dijangka berpanjangan walaupun Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Agensi penarafan kredit Amerika Syarikat (AS), Fitch Solutions berkata, jangkaan berkenaan dibuat berdasarkan kedudukan semasa yang menyaksikan BN dan UMNO dalam kedudukan dominan menjelang PRU-15, namun isu perbalahan dalam parti itu dijangka tetap berlaku.

“Perbalahan dimaksudkan itu membabitkan kumpulan yang menyokong kerajaan semasa pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Serta mereka yang menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan sekutunya, termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Perbalahan politik mungkin kurang menyerlah sebelum PRU-15 kerana semua pihak sedang berusaha sebaik mungkin untuk merapatkan barisan selain memberi tumpuan untuk memenangi pilihan raya,” katanya dalam laporan penyelidikan risiko industri negara yang diterbitkan.

Bagaimanapun, Fitch Solutions memaklumkan, risiko untuk berlakunya perbalahan antara kumpulan itu meningkat sejurus selepas kemenangan diperoleh.

“Ini sudah tentu akan memberi kesan kepada Malaysia dalam membuat dasar yang berkesan dan kemampuan melaksanakannya, walaupun BN menang pada pilihan raya nanti,” katanya.

Laporan itu turut menyatakan dalam jangka sederhana – dengan tidak mengambil kira kumpulan mana dalam UMNO yang bakal membentuk kerajaan – momentum perubahan akan kekal perlahan.

“Pertembungan antara kumpulan dalam UMNO mungkin kekal berterusan ketika landskap pilihan raya Malaysia kini jauh lebih kompetitif berbanding ketika BN kekal dominan dalam tempoh 61 tahun kemerdekaan Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, agensi itu menjangkakan pilihan raya diadakan pada separuh kedua tahun ini, iaitu jauh lebih awal daripada tarikh akhir September 2023.

“Ini ada kaitan dengan ‘kemenangan muktamad’ BN pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, Mac lalu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button