Berita Utama

BERJASA hantar memorandum gesa tangguh pemansuhan subsidi kepada kerajaan

Rakyat tertekan, bimbang kesan kenaikan harga barang di kala ekonomi tak stabil

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 23 Zulkaedah 1443H, Khamis – Parti BERJASA akan menghantar satu memorandum kepada kerajaan dalam masa terdekat bagi menggesa penangguhan terhadap pemansuhan harga subsidi bagi ayam, telur serta minyak masak yang akan bermula 1 Julai depan.

Naib Presiden BERJASA, Haji Samad Ashaari berkata, keputusan penyerahan memorandum berkenaan dibuat selepas mengadakan mesyuarat khas dan melihat langkah yang dibuat kerajaan adalah tidak tepat di saat rakyat sedang tertekan berdepan keadaan ekonomi tidak stabil.

“BERJASA akan menghantar memorandum kepada kerajaan dalam masa terdekat supaya menangguhkan dahulu keputusan untuk mansuhkan kawalan harga bagi barangan asas ini.

“Hal ini penting memandangkan rakyat kini berdepan saat getir untuk kembali bangkit selepas berdepan musibah COVID-19 selain keadaan ekonomi yang semakin tertekan.

“Kesan daripada pemansuhan subsidi memberi kesan besar kepada rantaian barangan lain apabila harga diapungkan dengan bebas sekali gus menyebabkan rakyat yang menjadi mangsa dan lebih tertekan dengan kenaikan tersebut,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Haji Samad berkata, penyerahan memorandum itu dibuat bagi menyuarakan isi hati rakyat yang kini bimbang memikirkan impak kepada kenaikan harga barangan.

“Sepatutnya kerajaan bantu rakyat dengan menyediakan lebih banyak bantuan kepada rakyat bagi meringankan bebanan dan bukannya terus menghimpit rakyat dengan cara begini.

“Ini kerana, semua pihak akan terkesan dan bukan sahaja melibatkan golongan B40, tetapi juga mereka yang tinggal di bandar besar dan memerlukan kos perbelanjaan yang besar,” katanya.

Justeru, seiring dengan memorandum tersebut pihaknya akan turut menyerahkan beberapa cadangan yang bersesuaian untuk dilakukan bagi menangani permasalahan ini.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi kenyataan memaklumkan, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan kawalan harga siling ayam dan telur ayam.

Katanya, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran lebih stabil dan dalam jangka masa panjang pula dapat menstabilkan harga.

Subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram juga akan dimansuhkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button