Berita UtamaDunia

Gempa bumi: Taliban mohon bantuan antarabangsa

Angka korban dijangka terus meningkat, kini cecah lebih 1,000

KABUL, 23 Zulkaedah 1443H, Khamis – Pemimpin Taliban meminta bantuan antarabangsa selepas gempa bumi paling dahsyat dalam beberapa dekad melanda timur Afghanistan, sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 1,000 orang.

Gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter melanda kawasan luar bandar, kawasan pergunungan di wilayah Paktika dan Khost berhampiran sempadan Pakistan pada malam Selasa, meruntuhkan rumah ketika orang ramai tidur.

Ketua Jabatan Penerangan dan Kebudayaan di Paktika, Mohammad Amin Huzaifa memberitahu pemberita bahawa lebih 1,000 orang terbunuh dan lebih 1,500 yang lain cedera di daerah Gayan dan Barmal di Paktika sahaja.

Katanya, angka itu dijangka meningkat.

Dalam mesyuarat tergempar, kerajaan Afghanistan meluluskan AS$1.1 juta untuk usaha bantuan.

Bagaimanpun, memandangkan negara itu sudah berdepan krisis kewangan dan kemanusiaan, pemimpin tertinggi Taliban, Mullah Hibatullah Akhundzada meminta bantuan masyarakat antarabangsa.

“Kami juga meminta masyarakat antarabangsa, pertubuhan bantuan dan agensi kemanusiaan untuk menyokong rakyat Afghanistan ketika bencana besar ini dan membantu mangsa sebanyak mungkin,” katanya.

Tawaran bantuan segera turut hadir dari Pakistan.

Gegaran turut direkodkan di negara itu, namun pihak berkuasa tidak melaporkan kerosakan atau kemalangan jiwa.

Pejabat Kementerian Luar Pakistan berkata, bahawa negara itu sedang berusaha menghulurkan bantuan.

Gempa bumi itu adalah yang paling mengerikan di Afghanistan sejak 1998, apabila gegaran 6.5 skala Richter membunuh lebih 4,000 orang di wilayah Takhar di utara negara itu. – Agensi

Pautan terdahulu;

250 terkorban gempa bumi kuat di Afghanistan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button