Berita Utama

Puad tuntut kerajaan dedah perkembangan RCI siasat buku Tommy Thomas

Mahu Azalina kongsi status terkini, harap tiada lagi penangguhan

BANGI, 1 Rejab 1444H, Isnin – Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi menuntut kerajaan berkongsi perkembangan terkini penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Meskipun mengakui Kabinet baru sahaja bersetuju menubuhkan RCI terhadap Tommy pada 11 Januari lalu, beliau bagaimanapun tidak mahu ianya terus berlanjutan memandangkan isu berkenaan sudah lama.

“Diharap Azalina (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said) kongsi status terkini. Saya desak penubuhan RCI sejak 2021 lagi.

“Semoga tiada penangguhan. Ramai jadi mangsa. Tahan pasport tersangka. Kuncu-kuncunya masih dalam sistem. Datuk Seri Najib masih dinafikan hak perbicaraan adil,” katanya di Facebook, hari ini.

Sebelum ini, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan RCI bagi meneliti secara menyeluruh Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Azalina berkata, berkata penubuhan itu selaras Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, mengikut bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja itu, katanya, bertujuan mencari kebenaran serta mengemuka syor kepada kerajaan bagi reformasi institusi perundangan, bukannya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button