Dunia

Hamas gesa AU tolak beri status pemerhati pada Israel

Banyak bukti Israel amal keganasan, sistem apartheid

ADDIS ABABA, 4 Rejab 1443H, Ahad – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menggesa negara anggota yang menghadiri Sidang Kemuncak Kesatuan Afrika (AU) yang berlangsung pada 5 dan 6 Februari, untuk menolak pemberian status pemerhati kepada pengganas Israel.

Hamas dalam kenyataan menegaskan bahawa Israel mengamalkan keganasan dan secara sistematik melakukan pelbagai jenis jenayah terhadap rakyat Palestin serta tapak suci umat Islam di negara itu.

Hamas berkata, Israel mengguna pakai dasar pembersihan etnik dan diskriminasi kaum, malah perkara itu juga banyak dibuktikan oleh kumpulan hak asasi manusia antarabangsa.

“Contoh terbaharu ialah laporan Amnesty International yang menggambarkan Israel sebagai ‘sistem apartheid’.

“Negara pendudukan Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, selain enggan melaksanakan resolusi antarabangsa atau mematuhi saranan jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyiasat jenayahnya,” kata Hamas.

Hamas berkata, pemberian status pemerhati rasmi kepada Israel di AU adalah pelanggaran jelas terhadap Piagam Afrika mengenai Hak Asasi Manusia, termasuk prinsip dan nilai AU serta undang-undangnya yang memperuntukkan memerangi perkauman dan dekolonisasi.

“Semua rakyat bebas di benua Afrika untuk mengisytiharkan solidariti mereka dengan Palestin, dan melakukan yang terbaik untuk menggagalkan pengembalian semula kuasa pendudukan perkauman kepada AU, yang prinsip dan objektifnya memerangi penjajahan serta diskriminasi kaum,” katanya.

Keadaan itu berlaku ketika Algeria menerajui usul membatalkan keputusan yang dibuat AU untuk memberikan status pemerhati Israel.

Menerima Israel sebagai negara anggota pemerhati di AU telah memecahbelahkan negara-negara Afrika, kerana ada yang menerima dan menolak.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button