Berita Utama

Mahdzir sedih tindakan Nur Jazlan kritik PM secara terbuka

Nasihat pimpinan UMNO buat kritikan guna saluran betul

BANGI, 23 Zulkaedah 1443H, Khamis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan kekecewaan apabila rakan partinya melakukan kritikan secara terbuka terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed melabel Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri terlemah daripada kalangan UMNO kerana lambat membuat keputusan berhubung kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin dalam Kabinet.

Nur Jazlan berkata, Ismail Sabri tidak dapat membuat keputusan dalam pentadbirannya kerana dikekang oleh faktor tertentu, malah tindakan bertangguh dalam membuat keputusan berhubung isu Zuraida mencerminkan kelemahan kerajaan dipimpinnya ketika ini.

Tidak senang hati dengan kenyataan Nur Jazlan, Mahdzir pula memberikan nasihat agar pimpinan UMNO membuat kritikan terhadap Perdana Menteri mengikut saluran yang betul.

Mahdzir turut menyifatkan pandangan Nur Jazlan yang mengkritik Ismail Sabri secara terbuka itu sebagai pandangan peribadi.

“Sebagai seorang yang pernah menjadi Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen dan sekarang ketua bahagian, beliau (Nur Jazlan) tidak sepatutnya buat teguran seumpama itu, sebaliknya carilah saluran yang ada dalam parti.

“Saya rasa sedih, sebab kita sedang kumpul kekuatan untuk pergi kepada Pilihan Raya Umum dan tak payah ada komen seumpama itu,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Bagaimanapun, Mahdzir menyifatkan kenyataan Nur Jazlan yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Pulai tidak mewakili mana-mana organisasi tetapi merupakan pandangan peribadinya sendiri.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Padang Terap itu menjelaskan kenyataan Nur Jazlan tidak menggambarkan UMNO dalam keadaan berpecah sebaliknya parti itu dalam keadaan baik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button