Berita UtamaDunia

Putera Mahkota Arab Saudi lawat Turki 4 tahun selepas kes Khashoggi

Baiki semula hubungan, kedatangan Putera Mohammed disambut Erdogan

ISTANBUL, 23 Zulkaedah 1443H, Khamis – Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman mengadakan lawatan ke Turki buat kali pertama sejak kes pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi pada 2018 di konsulatnya di Istanbul.

Kedatangan Putera Mohammed disambut Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan dilihat memeluknya sebelum mengadakan perbincangan bagi membaiki hubungan yang retak sebelum ini.

Sebelum ini, Erdogan secara tidak langsung menuduh Putera Arab Saudi itu mengarahkan ejen untuk membunuh wartawan Post Washington terbabit.

Khashoggi adalah pengkritik Putera Mohammed, juga rakyat Amerika Syarikat (AS) yang mengunjungi Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada Oktober 2018.

Bagaimanapun, dia dibunuh dan lebih kejam lagi apabila mayatnya dikerat beberapa bahagian.

Dia adalah wartawan dan penyunting veteran dari Arab Saudi yang berpindah ke AS, pernah menulis artikel yang lantang mengkritik Putera Mohammed apabila dirinya menerima ancaman bunuh pada 2 Oktober 2018.

Namun, Turki kini berusaha melebarkan sayap dalam bidang pelaburan untuk membantu menangani krisis ekonomi yang semakin teruk.

Malah, negara itu turut mengukuhkan hubungan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Israel selepas beberapa tahun berdepan tekanan ekonomi.

Susulan perbincangan itu, kenyataan bersama yang dikeluarkan memberitahu bahawa kedua-dua negara akan meningkatkan hubungan dan pelaburan dalam beberapa sektor termasuk tenaga dan juga pertahanan.

Putera Mohammed juga mahu menamatkan pengasingan antarabangsa dan berhasrat memainkan semula peranannya.

Beliau juga akan mengadakan kunjungan ke Jordan dan Mesir minggu ini, sebagai sebahagian Jelajah Timur Tengah termasuk mengadakan pertemuan dengan Presiden AS, Joed Biden dalam masa terdekat.

Walaupun Erdogan bukan secara langsung menuduh Putera Mahkota itu, namun beliau mendakwa mengetahui arahan untuk membunuh Khashoggi adalah daripada pimpinan tertinggi kerajaan Arab Saudi.

Agen Perisikan AS membuat kesimpulan Putera mahkota Arab Saudi telah meluluskan operasi untuk menangkap dan membunuh wartawan veteran berkenaan.

Bagaimanapun, pendakwaan Arab Saudi menyalahkan agen perisikan berkenaan dan memaklumkan Putera Mahkota langsung tidak tahu mengenai operasi itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button