Artikel Khas

Siri 4: Menuju Hari Peradaban Bangsa Melayu

Filem Mat Kilau ingatkan pada pemberontakan Datok Bahaman, Tok Gajah

1. HARI ini 23 Jun akan disiarkan kepada awam tayangan filem Mat Kilau. Moga penerimaan masyarakat Islam terhadap filem ini baik agar penghasilan filem-filem yang membangkitkan semangat kepahlawanan Islam akan berkembang. Penerimaan masyarakat ini penting kerana ianya bakal menyuntik penerbit-penerbit filem dan pemain industri untuk beralih arah dari tema-tema filem yang ‘biasa-biasa’ sahaja kepada satu tema yang memberi kesan kepada semangat jatidiri perjuangan bangsa.

2. Satu sudut yang saya bersyukur sangat dengan filem Mat Kilau ini adalah kerana ia berjaya menonjolkan perjuangan bangsa Melayu Islam menentang British. Biasanya kita selalu mendengar atau menonton kisah perjuangan Melayu menentang komunis atau Jepun. Masa lawan komunis itu orang Melayu bersama British. Semasa lawan Jepun pun orang Melayu digambarkan berhajat kepada bantuan British.

3. Negara kita pernah duduk di dalam polemik adakah British itu penjajah atau bagaimana? Sampaikan cendekiawan pun sebahagiannya tidak boleh merumuskan secara tuntas. Dalam dokumentari yang pernah ditayangkan di awal kemerdekaan, digambarkan pulangnya British ke bumi mereka sebagai ‘tamatlah sudah waktu belajar’; tamatlah sudah waktu orang Melayu belajar dari British dan sekarang sudah sampai masanya British sebagai ‘guru’ pulang semula ke negara mereka. Hmmmm….

4. Kerajaan negeri Sarawak pernah menjemput keturunan Charles Brooke sebgai tetamu kehormat di dalam satu majlis. Saya tidak pasti apa perasaan anak-anak cucu cicit pejuang dahulu yang mati di tangan British bila melihat semua itu.

5. Lupakah kita siri-siri perang Naning di mana Dol Said melancarkan perang terhadap British selepas perjanjian Inggeris-Belanda 1824? Peperangan berlaku di antara 1831-1832. 

Lupakah kita Perjanjian Pangkor 1874 yang kemudiannya dimanipulasi oleh British untuk mengutip cukai yang tidak masuk akal ke atas orang Melayu? Dari situ Sultan murka dan berpakat dengan pembesar-pembesar Melayu di Durian Sebatang untuk membunuh Birch. Kematian Birch disusuli dengan perang orang Perak dan British lalu membawa kepada kematian Datuk Maharaja Lela dan rakan-rakannya di tali gantung di sebatang pokok di Taiping.

Lupakah kita bahawa di Negeri Sembilan berlaku pemberontakan oleh Yamtuan Tunku Antah di Paroi pada tahun 1875. Di Selangor pemberontakan Raja Mahadi juga pada tahun 1875. 

Filem Mat Kilau mengingatkan kita pemberontakan Datok Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau di Pahang. 

Lupakah kita pada peranan Syed Abdul Rahman Idrus atau Tok Ku Paloh pada tahun 1889? Lupakah kita kepada perjuangan Hj Abd Rahman Limbong membela tanah-tanah orang Melayu yang akhirnya dibuang negara ke Mekah pada 1928 dan meninggal di Mekah pada 1929?

Lupakah kita bahawa di Sarawak berlaku pemberontakan Syarif Mashur terhadap pendudukan Brooke tahun 1841? Beliau telah  dibuang ke Betawi pada tahun 1861. 

Lupakah kita di Sabah berlaku pemberontakan Mat Salleh pada tahun 1897 dan beliau mati syahid pada 31 Januari 1900.   

Lupakah kita bahawa di awal kurun ke 20 kita menyaksikan kisah perjuangan Tok Janggut di Kelantan yang berakhir dengan kematiannya di tali gantung dan jasadnya yang sudah tidak bernyawa diarak ke sana sini sebagai amaran British terhadap orang Melayu islam?

Jika kita lupa semua itu, filem Mat Kilau berjaya mengingatkannnya kembali.

6. Saya tidak dapat apa-apa imbuhan dari tulisan ini dari penerbit filem Mat Kilau. Tetapi tulisan ini didorong oleh keinginan untuk melihat bangsa Melayu Islam kembali kepada jatidirinya yang asal sebagai pejuang agama yang tulin. Kenali diri, kenali musuh. Tunaikan tanggungjawab dan amanah yang Allah bebankan selagi hayat dikandung badan.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

Artikel berkaitan;

Siri 1: Menuju Hari Peradaban Bangsa Melayu

Siri 2: Menuju Hari Peradaban Bangsa Melayu

https://ismaweb.net/2022/06/17/siri-ke-3-menuju-hari-peradaban-bangsa-melayu/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button