Berita UtamaDunia

Gempa Afghanistan: Penduduk kelaparan, tiada tempat berteduh

Hilang 20 ahli keluarga terdekat dalam bencana

KABUL, 24 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Penduduk Afghanistan yang terselamat daripada gempa bumi mengakui mereka kini berdepan kelaparan selepas tiada makanan dan perlindungan.

Lebih membimbangkan adalah kerana mereka kini turut berdepan risiko wabak Kolera terutama di wilayah Paktika, yang paling teruk berdepan gempa bumi.

Salah seorang penduduk, Agha Jan yang ketiadaan makanan dan perlindungan mencari sesuatu di sebalik runtuhan itu kelihatan bergenang air mata apabila menemui kasut anak lelakinya.

“Ini kasut anak lelaki saya yang terkorban bersama dua isterinya serta tiga lagi anaknya.

“Semua kini tinggal serpihan sahaja, tiada apa yang boleh saya lakukan buat masa ini, saya ketiadaan makanan dan juga perlindungan,” katanya sambil berkongsi kejadian gempa tersebut berlaku ketika dia sedang nyenyak tidur.

Katanya, ketika kejadian dia menjerit memanggil sepupunya untuk membantu dan mencari ahli keluarganya namun kesemua mereka terkorban dalam kejadian tersebut.

Perkampungan Agha Jan di wilayah Barmal merupakan salah satu daripada lokasi yang teruk terjejas akibat kejadian gempa bumi yang mengorbankan kira-kira 1,000 penduduk manakala lebih 3,000 yang lain mengalami kecederaan.

Penduduk perlu mengambil masa sehingga tiga jam untuk ke bandar berdekatan dan kebanyakan jalan di lokasi terpencil berdepan kesukaran apabila jalan raya utama musnah memaksa pesakit dibawa ke haspital menggunakan helikopter tentera Taliban.

Walaupun kebanyakan rumah di perkampungan berkenaan dibina dengan lumpur dan batu, kesemuanya musnah teruk menyebabkan mereka kini tiada tempat perlindungan yang selamat.

Habib Gul, yang bekerja di Karachi, Pakistan bergegas pulang ke kampungnya di Barmal, selepas mengetahui 20 ahli keluarganya terdekat terkorban dalam kejadian tragis.

Kata Habib, dia kini ketakutan selepas melihat kejadian melanda ahli keluarga selain terpaksa menahan lapar dan tidak tahu di mana mahu berteduh selepas rumah yang didiami keluarganya runtuh. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button