Berita Utama

PRU15: Penyertaan NGO mampu ubah landskap politik negara

Pendekatan luar biasa, belum pernah dilakukan mana-mana gabungan sebelum ini

JERLUN,18 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Calon pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketengahkan oleh Gerakan Tanah Air (GTA) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diyakini mampu mengubah landskap politik negara sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.

Penyertaan wakil NGO juga mampu memperkemaskan sistem pentadbiran mengikut kepakaran masing-masing, demikian kata Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Katanya, inisiatif Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan konsep baharu dengan menggabungkan politik dan NGO adalah pendekatan luar biasa selain belum pernah dilakukan mana-mana gabungan sebelum ini.

“Sangat menarik apabila saya berjumpa dengan beberapa kumpulan petani dan mereka pesan untuk saya terus bangkitkan isu-isu padi di Dewan Rakyat.

“Saya maklumkan kepada mereka dalam PRU15 ini, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) bertanding bawah GTA dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Pendang.

“Sekiranya saya bercakap dalam Dewan Rakyat atau DUN berkenaan isu padi mengikut kefahaman saya, bayangkan kalau wakil pesawah sendiri yang bercakap dan tahu lebih mendalam masalah petani,” katanya.

Presiden Pejuang itu pada masa sama menjelaskan, masyarakat kini semakin terbuka dan dilihat sangat menyambut baik penyertaan wakil NGO ini walaupun tidak pernah terbabit dalam politik, sebelum ini.

Tiga wakil NGO bertanding di Kedah, iaitu Abdul Rashid Yob yang merupakan Exco Pesawah; Mohamad Yusrizal Yusoff (Presiden Cake) serta Datuk Mohd Nizam Mahshar yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa dan Penyelidikan Untuk Kelestarian (IDRIS).

Manakala, seramai 14 wakil NGO mewakili GTA bertanding dalam PRU15 kali ini, iaitu empat di Selangor, dua di Pulau Pinang serta masing-masing seorang calon di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Perlis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button