Berita Utama

UKM jalankan kajian ELV, kenalpasti ciri kenderaan sesuai dilupus

Mahu contohi negara-negara maju atasi lambakan kenderaan

BANGI, 24 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Pasukan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalankan kajian berhubung polisi lupus kenderaan (ELV) bagi mengenalpasti usia dan ciri kenderaan yang tidak selamat dan bersesuaian untuk dilupuskan.

Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya UKM, Prof Dr Rozmi Ismail berkata, kajian berkenaan dibuat sebagai langkah mengatasi isu kenderaan buruk dan kereta tersadai yang sekali gus dilihat mencemarkan alam sekitar.

“Data menunjukkan lebih tujuh juta kenderaan buruk tersadai di merata tempat di negara kita dan bayangkan apa akan berlaku dalam 20 tahun lagi jika pemilik tidak ada kesedaran untuk melupuskan kenderaan masing-masing.

“Kita juga akan mengadakan advokasi kepada orang ramai supaya menamatkan riwayat kereta mereka apabila sudah sampai masa dengan membatalkan pendaftaran kereta dengan cara mematikan geran dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk dilupuskan.

“Jadi, kesedaran orang ramai untuk melupuskan kenderaan sangat penting,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Namun, Prof Rozmi berkata, dalam merealisasikan polisi berkenaan, banyak perkara perlu diperhalusi termasuk termasuk kesannya terhadap golongan berpendapatan rendah.

Katanya, UKM juga mengambil contoh negara maju seperti Jepun, Singapura dan Eropah yang berjaya mengurangkan lambakan kenderaan menerusi pelaksanaan polisi melupuskan kenderaan melepasi had usia lebih 10 tahun.

Beliau berkata, di Singapura, pemilik diberi pilihan sama ada bersedia menamatkan riwayat kereta yang berusia 10 tahun atau membayar sejumlah wang untuk menyambung pemilikan dan penggunaannya di jalan raya.

“Begitu juga di Jepun, pemilik kenderaan mesti melakukan pemeriksaan keselamatan kenderaan masing-masing selepas tiga tahun manakala kenderaan lebih 10 tahun mesti lulus pemeriksaan keselamatan yang ketat sebelum dibenarkan berada di jalan raya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button