Berita Utama

Naikkan elaun warden asrama langkah jangka pendek: iGuru

Syor wujudkan perjawatan sepenuh masa bukan kalangan guru

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 24 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Meskipun menyambut baik pengumuman kerajaan menaikkan kadar elaun warden di sekolah berasrama, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) melihat langkah itu hanyalah bersifat jangka pendek setelah 25 tahun tidak disemak.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berpandangan bahawa terdapat aspek lain yang perlu diberi perhatian supaya isu beban tugas warden dapat diselesaikan untuk jangka panjang.

Justeru, beliau mengulangi beberapa saranan iGuru sebelum ini untuk diberi perhatian oleh Kementerian Pendidikan (KPM), antaranya cadangan mewujudkan perjawatan warden sepenuh masa yang bukan dalam kalangan guru.

“Antara lainnya juga adalah mengurangkan beban tugas guru warden dengan mewujudkan guru warden seperti guru pusat sumber dan tidak dibebankan dengan bebanan akademik.

“Mengkaji juga nisbah warden dengan murid iaitu dengan mengecilkan nisbah warden dari sedia ada iaitu 1:50 murid kepada seorang warden dengan 40 murid,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Ustaz Mohd Azizee berkata, langkah itu diharap dapat meningkatkan kualiti kerja guru warden dan meringankan beban yang ditanggung.

“Satu hakikat yang perit ialah guru warden berdepan dan terdedah dengan tindakan saman ibu bapa jika berlaku sesuatu di asrama.

“KPM perlu memastikan kebajikan guru warden terbela dan terjaga bukan sahaja dari imbuhan material semata-mata tetapi juga dari sudut peruntukan undang-undang dengan menggubal akta keguruan yang dapat menjamin nasib para guru,” katanya.

Bagaimanapun, iGuru mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan atas keprihatinan KPM menaikkan sebanyak RM60 elaun berkenaan.

“Kenaikan ini diharapkan dapat memberikan suntikan dan motivasi kepada para warden untuk bekerja dengan lebih gigih dan berdedikasi.

“Ia juga sebagai tanda pihak KPM mendengar suara akar umbi kesatuan-kesatuan guru,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan kadar elaun warden di sekolah berasrama bawah KPM, akan dinaikkan sebanyak 25 peratus mulai 1 Ogos depan, selepas kali terakhir ia disemak pada 1997.

Dengan kenaikan itu nanti, kadar baharu elaun ketua warden ialah RM350 sebulan, manakala warden pula RM300.

Pautan berkaitan;

Elaun warden asrama dinaikkan setelah 25 tahun tak disemak

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button