Berita Utama

Penonton ‘meremang’, Mat Kilau kutip RM1 juta hari pertama tayangan

Filem epik pertama Malaysia pecah rekod pembukaan, kutipan paling tinggi

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 24 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mencatatkan kejayaan awal membanggakan apabila memungut RM1 juta pada hari pertama di pawagam semalam.

Pengarahnya, Syamsul Yusof berkata, kutipan itu sekali gus menjadikan Mat Kilau filem epik pertama Malaysia yang memecahkan rekod pembukaan dan sebagai filem epik Melayu dengan kutipan paling tinggi dalam sejarah.

“Izin Allah, maka dengan ini Mat Kilau menjadi filem epik pertama Malaysia memecahkan rekod pembukaan sebagai ‘filem epik Melayu kutipan paling tinggi dalam sejarah’,” katanya dalam hantaran di Instagram hari ini.

Kutipan itu seperti sudah dijangka kerana tayangan pertamanya semalam mendapat sambutan baik rata-rata mereka yang sudah menontonnya di pawagam.

Rata-rata penonton mengakui ‘meremang’ dan memuji karya terbaharu bertemakan sejarah penting dalam filem biografi epik yang diterbitkan oleh Studio Kembara itu.

Filem aksi tanpa henti itu menyaksikan pengorbanan, keberanian dan kesatuan pahlawan-pahlawan Melayu untuk membebaskan tanah air tercinta.

Tinjauan Ismaweb.net mendapati, pengguna media sosial memberi pujian melambung kepada filem arahan Syamsul Yusof Yang menelan belanja sebanyak RM8 juta.

Menjadi penonton terawal menonton filem itu, Abdullah Zainal berkata, tayangan Mat Kilau memberi kesan kepada jiwa orang Melayu.

“Filem ini memang epik dan buatkan kita jadi bangga pada sejarah dan budaya bangsa kita.

“Diharapkan lagi banyak filem sejarah macam ini akan ada lagi selepas ini, sebagai wadah untuk generasi muda kita lebih kenal dan cinta kepada warisan bangsa kita,” demikian kata Sayed Salazaar.

Sementara Muhammad Zulhairi memuji babak aksi silat yang dibawa oleh watak utama dalam filem itu selain skrip yang diketengahkan.

“Aku tengok tadi serius 10/10. Dia punya silat memang gempak campur dengan Bahasa Melayu lama,” katanya.

Harith Hasnan pula berkata, dia hadir menonton filem ini dengan harapan supaya akan ada lagi filem biografi epik seperti Mat Kilau yang dihasilkan akan datang.

“Kita patut berbangga dan berterima kasih pada pihak Syamsul Yusof dan Studio Kembara serta barisan pelakon yang berjaya menonjolkan dan mempromosikan kekayaan budaya dalam masyarakat nusantara serta kisah sejarah pahlawan Melayu terbilang kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button