Berita Utama

Dua kawasan di Selangor dilanda banjir kilat: Bomba

69 mangsa di Klang, Kuala Langat diselamatkan

SHAH ALAM, 24 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Dua kawasan di sekitar Klang dan Kuala Langat, dekat sini dilanda banjir kilat susulan hujan renyai yang berterusan melebihi dua jam sejak awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, kawasan yang terlibat adalah Jalan Pengkalan Kampung Nelayan, Telok Gong di Pelabuhan Klang melibatkan lima mangsa dan Jalan Perepat, Telok Panglima Garang di Kuala Langat melibatkan 64 mangsa.

“Bomba menyelamatkan kesemua mangsa di kedua-dua kawasan tersebut selepas mendapat panggilan sekitar jam 6 dan 7 pagi tadi. Mereka dipindahkan di kawasan pemindahan sementara dan ada yang tinggal di rumah keluarga.

“Kedua-dua kawasan tersebut dinaiki air setinggi paras lutut akibat limpahan air dari longkang dan sungai berhampiran kawasan berkenaan. Namun keadaan kini terkawal dan air banjir dalam trend menurun,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Hafisham memaklumkan sebuah pokok telah tumbang dan menghempap empat kenderaan di Jalan Samudera, Pulau Indah sekitar 5.24 pagi tadi namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button