Berita UtamaDunia

Gempa bumi: India hantar bantuan ke-2 ke Afghanistan

Semua barangan diserah ke pejabat ONOCHA, ARCS sebelum diagihkan

KABUL, 24 Zulkaedah 1443H, Jumaat – India menghantar bantuan kecemasan kedua dalam tempoh dua hari berturut-turut kepada Afghanistan sebagai bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi teruk melanda wilayah timur negara itu.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Arindam Bagchi berkata, bantuan kali kedua ini telah selamat tiba di Kabul hari ini.

Bantuan berkenaan terdiri daripada barangan keperluan seperti khemah, beg, selimut, tikar dan beberapa barangan asas lain.

Kesemua barangan berkenaan diserahkan kepada Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan (ARCS) di Kabul.

Sehingga kini India menjadi negara pertama yang menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban mangsa susulan gempa bumi yang melanda Afghanistan, kelmarin sehingga mengorbankan lebih 1,000 penduduk.

“Seperti biasa, India akan teguh bersama dan memberi solidariti dengan rakyat Afghanistan, dan tetap komited menyediakan bantuan segera kepada semua rakyat di negara tersebut,” katanya.

Kelmarin, India menghantar konsainan pertama sebanyak 27 tan bantuan kecemasan menggunakan dua penerbangan khusus dan mengerahkan pasukan ke Kedutaan di Kabul untuk menyelaraskan usaha pihak berkepentingan bagi penyampaian bantuan kemanusiaan.

Sementara itu, Taliban pula menghargai keputusan India untuk mengembalikan pasukan teknikal bagi meneruskan bantuan kemanusian di Afghanistan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button