Berita UtamaDunia

Hamas gesa lindung masjid al-Aqsa dari penggalian Israel

Tindakan Zionis cubaan untuk hapuskan mercu tanda Islam

BAITULMAQDIS, 24 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menggesa tindakan segera bagi melindungi Masjid al-Aqsa daripada penggalian Israel yang membahayakan asasnya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, Hamas berkata, penggalian berterusan dilakukan oleh pihak berkuasa pendudukan Zionis di kawasan Tembok al-Buraq dan istana Umayyah adalah ancaman langsung kepada asas dan dinding Masjid al-Aqsa.

Bahkan, tindakan itu juga percubaan untuk menghapuskan mercu tanda Islam dan bersejarah kota Baitulmaqdis.

Justeru, Hamas meminta Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Kerajaan Hashemite Jordan – penjaga Masjid al-Aqsa – bertindak segera untuk menghentikan rancangan penjajah Zionis bagi melindungi Baitulmaqdis dan tempat suci ketiga umat Islam itu.

Terdahulu, Majlis Wakaf, Hal Ehwal Islam dan Tempat Suci di kota Baitulmaqdis berkata, ia mengikuti dengan ‘kebimbangan melampau’ penggalian yang Israel lakukan di sekitar Masjid al-Aqsa.

Majlis itu berkata, Pihak Berkuasa Antikuiti Israel dan persatuan penempatan Elad telah menjalankan penggalian yang mencurigakan dan misteri di sekitar Masjid al-Aqsa, terutamanya berhampiran bahagian selatan dan barat bersebelahan asas luar masjid.

Pihak berkuasa Israel bagaimanapun tidak mengeluarkan ulasan segera mengenai kenyataan majlis itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button