Jabatan Peguam Negara sedia draf pindaan RUU mansuh hukuman mati mandatori
Perkongsian pandangan bersama pakar akademik dan Ahli Dewan Rakyat akan diadakan

BANGI, 24 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Jabatan Peguam Negara akan menyediakan draf pindaan Rang Undang-Undang (RUU) memansuhkan hukuman mati mandatori.
Jabatan itu bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) diminta mengkaji dan meneliti cadangan yang dikemukakan selepas Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dibentangkan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
“Keputusan itu susulan perjumpaan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pada 20 Jun lalu.
“Kerajaan secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori selepas Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Mas Ermieyati berkata, sesi libat urus bersama pakar-pakar akademik dan Ahli Dewan Rakyat akan diadakan dalam masa terdekat bagi mendapatkan pandangan mengenai perkara ini sebelum dibentangkan di Parlimen, Oktober nanti.
“Kerajaan berterima kasih di atas kerjasama semua pihak yang terlibat dalam perkara ini dan berharap RUU ini dapat dilaksanakan serta dikuatkuasakan mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya.
Sebelum ini, Wan Junaidi menerusi kenyataan memaklumkan kerajaan membuat keputusan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada Mesyuarat Jemaah Menteri.
Justeru, semua pelaksanaan hukuman mati terhadap banduan akhir ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.