Berita Utama

Kerajaan negeri, MAIN dan JAIN perlu bersatu hadapi pencabar enakmen jenayah syariah

Jika timbul pertikaian kuasa DUN untuk gubal undang-undang, kerajaan negeri wajib pertahankannya

BANGI, 4 Safar 1445H, Isnin – Kerajaan negeri perlu mengambil perhatian ke atas kes mempertikaikan kuasa menggubal undang-undang sekiranya dibawa ke mahkamah, termasuk kes atau pertikaian membabitkan undang-undang Islam.

Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Datuk Dr Shamrahayu A Aziz menegaskan, kerajaan negeri adalah pihak yang menguruskan setiap proses penggubalan undang-undang peringkat negeri.

“Sebagai contoh, sekiranya pertikaian berkaitan undang-undang mengenai kesalahan mengikut undang-undang Islam dibawa ke mahkamah, maka kerajaan negeri perlu mengambil perhatian, bukan sahaja menyerahkan tanggungjawab itu kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sahaja.

“Dengan kata ringkas, sekiranya timbul pertikaian kuasa DUN untuk menggubal undang-undang, maka kerajaan negeri bertanggungjawab mempertahankannya,” katanya menulis dalam rencana yang diterbitkan Berita Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai penasihat kepada Sultan, MAIN perlu mengambil tindakan proaktif dan segera menyampaikan syor bersesuaian kepada Sultan.

Selain itu, katanya, semua pihak terbabit dalam penggubalan undang-undang dan dasar negeri perlu sentiasa berhubung supaya tindakan diambil itu menepati hasrat perundangan Islam.

“Tindakan seragam dapat memperlihatkan kesatuan dalam kalangan negeri berkaitan hal ehwal Islam, bukan sahaja perundangan Islam. Walaupun keseragaman mungkin sukar diperoleh, tidak mustahil ia dapat dicapai demi kepentingan Islam dan perundangan Islam itu sendiri.

“Maka, usaha bagi membentuk kesatuan adalah satu ujian atau cabaran yang mana kerajaan negeri serta pihak berkuasa berkaitan agama Islam perlu menguruskannya dengan sebaik mungkin.

“Perkara ini memerlukan ‘hati saling bertaut dan tindakan berpaut’ atau sokong menyokong antara satu sama lain ibarat ‘aur dengan tebing’,” katanya.

Tegasnya, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam juga boleh berperanan atau digembleng keupayaannya bagi mendepani isu atau pertikaian atau cabaran pihak tertentu terhadap hal ehwal Islam, termasuk perundangan Islam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button