Berita Utama

Perhimpunan jalanan bukan penyelesaian, titah Sultan Johor

Bakal beri impak negatif pada ekonomi, rencat pemulihan negara

BANGI, 24 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah perhimpunan jalanan sebagaimana dicadangkan oleh seorang pemimpin DAP, bukan cara bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian yang membina.

Baginda bertitah, suara atau pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat boleh disampaikan kepada kerajaan menerusi pelbagai forum lain.

“Tidak cukup peritkah pengajaran daripada demonstrasi yang menjadi detik hitam dalam sejarah negara kita seperti pada 1969, dan tidak lama dahulu, perhimpunan Bersih?

“Ia tidak mencapai sebarang matlamat, selain mengakibatkan kekecohan dan kerosakan. Ini bukan cara negara kita… tiada yang menang. Semuanya akan rugi dan kita tidak tahu berapa lama kita boleh pulih daripada kesan perhimpunan sebegitu.

“Undang-undang negara kita mesti dihormati. Janganlah buat kenyataan berbaur hasutan kerana ia tidak membantu, sedangkan ada banyak saluran yang lebih membina untuk menyuarakan pandangan,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook.

Baginda bertitah, perhimpunan jalanan juga akan memberi impak negatif kepada ekonomi negara, menakutkan pelabur asing dan merencatkan pemulihan negara daripada pandemik COVID-19.

“Janganlah buat perhimpunan sebegini. Pertumbuhan negara kita mesti dipupuk melalui dialog yang matang, bukan tindakan yang akan mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara,” titah baginda.

Baru-baru ini, anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali mengeluarkan kenyataan agar rakyat berhimpun beramai-ramai sebagai tanda protes susulan kenaikan kos sara hidup, seperti dilaporkan sebuah portal berita dalam talian tempatan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button