Berita Utama

Tajuddin digugur dari MKT UMNO kerana kritik parti

Tiada elemen rayuan boleh dilakukan: Ahmad Zahid

BANGI, 24 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan daripada jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO disebabkan kritikan terbuka Ahli Parlimen Pasir Salak itu terhadap parti.

Selain itu, pendirian beliau yang bercanggah dengan parti juga antara punca beliau digugurkan daripada jawatan itu berkuat kuasa Selasa lalu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mana-mana ahli MKT seharusnya mematuhi ketetapan dan keputusan dibuat berdasarkan perlembagaan parti.

“Dalam hal ini, saya sangat berlapang dada, jika secara peribadi (keputusan) saya tidak dipersetujui secara peribadinya. Tetapi apabila keputusan parti tentukan, maka kita harus menerima apa saja keputusan yang dibuat oleh parti.

“Saya fikir, tanyalah diri beliau sendiri. Tidak adil kalau saya memberi tahu secara umum kenapa, tetapi tentunya beliau tahu apa yang beliau lakukan kepada parti.

“Itu sebabnya (Tajuddin digugurkan). Kena tanya beliau sendiri apa kenyataan yang beliau sudah buat. Apakah bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan yang sudah dinyatakan dalam mesyuarat tertutup. Tanya beliau sendiri,” katanya seperti dipetik media tempatan.

Ahmad Zahid berkata, Tajuddin juga tidak perlu merayu terhadap keputusan penggugurannya itu, kerana lantikan berkenan dibuat dan terletak di bawah kuasa presiden.

“Rayuan untuk keahlian boleh dibuat tetapi rayuan untuk sesuatu jawatan dilantik, saya fikir tidak ada mana-mana elemen rayuan boleh dilakukan,” katanya.

Tajuddin digugurkan daripada ahli MKT UMNO, dengan surat pemakluman itu dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 21 Jun lalu.

Menurut surat yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, pelucutan jawatan itu berikutan komitmen Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button