Berita Utama

Berbeza dengan Kelantan, PAS mungkin sukar pertahan Kedah dan Terengganu

Tiada model politik tempatan kukuh jadi asas perjuangan

BANGI, 25 Zulkaedah 1443H, Sabtu – PAS mungkin sukar mengekalkan kedudukannya di Kedah dan Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya tidak merancang strategi jitu atau berjuang sendirian tanpa bersama platform Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN).

Justeru, selain menetapkan pendirian menguntungkan parti, PAS Pusat perlu menyerahkan autonomi khususnya dalam pembuatan keputusan kerjasama politik dan agihan kerusi kepada badan perhubungan negeri, kata Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya (UM) itu menjelaskan, ini kerana hanya kepimpinan tempatan dapat mencerap peluang kejayaan dasar di peringkat akar umbi.

“PAS mempunyai budaya politik jauh berbeza daripada parti politik lain apabila pemimpin semakin berusia dan bertaraf tok guru dan ulama sangat dihormati dalam perjuangan parti serta sebahagian besar rakyat Kelantan.

“Bagaimanapun, PAS Kedah dan Terengganu tidak mempunyai satu model politik tempatan kukuh untuk menjadi asas perjuangannya dalam PRU15 akan datang,” katanya menulis di Berita Harian.

Memberi contoh situasi politik di Kedah, beliau berkata, kerajaan negeri tidak dibentuk menerusi mandat PRU, tetapi PAS mendapat ‘rezeki terpijak’ selepas tercetusnya masalah dalaman PH dan dua wakil rakyat PKR menarik sokongan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Menteri Besar ketika itu.

“Persoalannya, adakah PAS Kedah mampu menerajui kerajaan selepas PRU15 nanti. Besar kemungkinan PAS tidak mampu menerajui semula kerajaan Kedah selepas PRU15 kerana tiada tawaran lumayan dan model politik luar biasa mampu diketengahkan seperti di Kelantan,” katanya.

Pada masa sama katanya, UMNO dan BN juga komited mahu merampas kembali Kedah yang diterajui pemimpin PAS.

“Keadaan sama juga mungkin berlaku di Terengganu kerana pengundi di negeri itu lebih pragmatik dalam pilihan raya, tidak takut menukar parti menerajui kerajaan negeri.

“Ia dapat dilihat sejak 1998 hingga kini, kerajaan negeri pimpinan PAS dan UMNO-BN bersilih ganti mentadbir negeri itu dan keadaan ini tidak membimbangkan rakyat Terengganu yang biasa dengan perubahan politik,” katanya.

Pautan artikel;
https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/06/968896/pas-mampu-pertahan-kelantan-tetapi-sukar-di-terengganu-kedah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button