Berita UtamaDunia

Dua penceroboh Israel didakwa musnah kedai kopi Palestin

Dipenjara sehingga tamat perbicaraan elak serangan lanjut

TEBING BARAT, 25 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Dua penceroboh Israel didakwa semalam atas tuduhan sengaja merosakkan sebuah kedai kopi Palestin atas motif ‘perkauman’ dan ‘nasionalis’ di bandar Huwara, Tebing Barat tengah, bulan lalu.

Kedua-dua penjenayah itu, seorang peneroka haram berusia 29 tahun dari penempatan Elon Moreh dan seorang warga Israel berusia 22 tahun dari Baitulmaqdis, akan dipenjarakan sehingga tamat perbicaraan bagi mengelakkan serangan lanjut.

Rakaman yang dikeluarkan pertubuhan hak asasi manusia Israel, B’Tselem, menunjukkan dua penceroboh itu memecah pintu kaca dan meja kedai kopi dengan kayu pemukul dan batang, mengakibatkan pelanggan Palestin melarikan diri ke belakang kedai.

Selain itu, diiringi dua kanak-kanak bawah umur Israel, mereka turut memusnahkan hookah dan mesin kopi bernilai NIS 20,000.

Serangan terhadap kedai Palestin itu berlaku ketika perarakan bendera bulan lalu, yang dilakukan beribu-ribu ultra-nasionalis Israel yang menyerbu perkarangan Masjid Al-Aqsa.

Perarakan bendera adalah perhimpunan tahunan yang dirancang oleh aktivis sayap kanan Israel sebagai sebahagian daripada perayaan memperingati pendudukan Israel pada 1967 dan pengilhakan haram Baitulmaqdis. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button