Artikel Khas

Mat Kilau pencetus revolusi industri perfileman

Bukti genre sejarah ada nilai tersendiri, dibuat penuh jiwa

SANGAT membanggakan. Hari pertama sahaja, Filem Mat Kilau tercatat sebagai filem paling banyak tontonan di pawagam tempatan yang mengatasi filem-filem lain termasuk dari Hollywood.

Malah, Filem Mat Kilau telah memecahkan rekod filem epik Melayu pertama yang mengutip RM1,000,000 pada tayangan hari pertama. Hari pertama tayangan adalah hari bekerja, bukan cuti hujung minggu pun. Luar biasa.

Ini membuktikan bahawa rakyat memang ternanti-nanti filem yang mengangkat pahlawan-pahlawan silam bangsa Melayu apatahlagi yang menceritakan kehebatan perjuangan mereka membela agama, bangsa dan tanah air dari anasir kolonial.

Ianya membuktikan juga bahawa filem-filem genre sejarah tempatan punyai potensi dan nilainya yang tersendiri jika dibuat dengan penuh berkualiti dan jiwa raga.

Lebih membanggakan, pelakon-pelakon dan pengarah terbaik tanah air bersatu menjayakan filem ini. Jarang kita lihat mana-mana filem yang majoriti besar di dalamnya ada nama-nama besar industri hiburan tanah air.

Tahniah kepada seluruh pasukan produksi bagi filem ini. Kalian telah mencipta sejarah dan saya percaya menjadi pencetus kepada revolusi baharu industri perfileman tanah air dan fenomena patriotisme alaf baharu.

Saya harap seluruh rakyat Malaysia dapat turun ke panggung terdekat menyokong filem ini.

Saya percaya, dengan kutipan dan keuntungan yang luar biasa itu nanti, pasukan Studio Kembara akan mampu hasilkan lebih banyak filem-filem epik pahlawan pada masa akan datang terutamanya Mat Kilau 2.

Pastinya, diharapkan filem ini dapat menembusi pasaran antarabangsa selepas ianya ‘meletup’ di pasaran tempatan. Saya difahamkan sahabat-sahabat di Indonesia juga sedang ternanti-nanti.

Kepada yang sudah tonton, jom bantu promosikan filem ini kepada sahabat handai dan ahli keluarga.

Alhamdulillah. Allahu Akbar.

Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
25 Jun 2022

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button