Berita Utama

KPM akan semak semula kurikulum sekolah rendah, menengah

Silibus Matematik Tahun Satu didakwa sukar, beraras tinggi

PUTRAJAYA, 25 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyemak semula kurikulum sekolah rendah dan menengah, kata Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin.

Ia dibuat berikutan dakwaan sukatan mata pelajaran terlalu sukar atau pelajar tidak biasa dengan aras kesukaran berkenaan.

Radzi berkata, pusingan pertama Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan lengkap pada tahun ini, manakala Kurikulum Standard Sekolah Menengah(KSSR) lengkap pada tahun lalu.

“Jika tamat pusingan ini, memang kita akan semak semula silibus. Kita lihat kesesuaian dengan mengambil kira keadaan dan perkembangan semasa.

“Ia tidak boleh dibuat secara suka-suka. Ada proses perlu diikuti. Tidak boleh hari ini kata nak semak, kita boleh semak.

“Dalam konteks ini, dalam semakan semula nanti, kita akan lihat sama ada isunya sama ada (kurikulum) benar-benar kompleks atau ketidakbiasaan. Ini perkara yang sedang kita beri tumpuan,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Sebelum ini terdapat rungutan segelintir ibu bapa dan guru yang mengatakan kurikulum beberapa mata pelajaran seperti Matematik Tahun Satu beraras tinggi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button