PAS Perak pelawa Tajuddin tanding tiket PN
Tawaran dibuat jika Pasir Salak jadi milik parti dalam pembahagian kerusi

KUALA LUMPUR, 25 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Selepas digugurkan daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendapat pelawaan PAS Negeri Perak untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, parti itu bersedia menawarkan Tajuddin bertanding mewakili PAS jika Pasir Salak menjadi milik parti dalam pembahagian kerusi bersama PN.
Beliau berkata demikian ekoran membayangkan kemungkinan Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak tidak diberi peluang bertanding lagi di kerusi tersebut pada PRU15 – mewakili Barisan Nasional (BN) – selepas digugurkan daripada MKT UMNO.
Memetik media tempatan, Razman berkata, pendirian PAS sama sekali tidak akan mencampuri urusan dalaman mana-mana parti lain.
“Tetapi sekarang telah diuar-uarkan bahawa pilihan raya akan diadakan pada bila-bila masa. Bukan sahaja oleh mereka dalam kalangan Kluster Mahkamah tetapi juga kenyataan Perdana Menteri.
“Sekiranya berlaku PRU15 dan Datuk Tajuddin tidak diberi tempat dalam BN, maka PAS Perak sedia menawarkan beliau bertanding atas tiket PN mewakili PAS.
“(Itu) sekiranya kerusi Pasir Salak itu menjadi milik PAS dalam pembahagian kerusi bersama PN,” katanya.